Sabtu, 14 Januari 2017

MB: Kerajaan Negeri rela ‘hilang’ RM140 juta demi rakyat


OLEH NAZLI IBRAHIM

 Mb notis 5A (3)

SUNGAI BULOH: Kerajaan Negeri menganggap ‘kehilangan’ pendapatan tahunan RM70 juta setahun amat berbaloi kerana ia disalurkan bagi menambah lagi kesejahteraan kehidupan rakyat di negeri itu.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ia ekoran Kerajaan Negeri memperkenalkan langkah mengecualikan cukai taksiran kepada pemilik rumah kampung dan rumah kos rendah, sejak 2016.

“Apa maknanya kalau ekonomi baik, rizab besar tetapi rakyat di bawah susah. Kita mahu kekayaan negeri ini mesti diserah balik kepada rakyat Selangor secara pelaksanaan program dan projek yang bermanfaat.

AZMIN-500x357


“Antaranya cukai taksiran bagi kampung tradisi, kampung baru, kampung bagan dan rumah kos rendah yang sudah dua tahun kita kecualikan.

“Rakyat tidak perlu bayar cukai taksiran di negeri ini, duduk dengan percuma dan ini menyebabkan Kerajaan Negeri hilang pendapatan RM70 juta setahun tetapi yang penting kita mahu rakyat hari ini yang dibebankan dengan kos sara hidup tinggi dapat diberikan bantuan kebajikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Notis 5A kepada tiga penduduk Kampung Seri Indah B, Sungai Buloh dan sembilan lagi peduduk yang mengusahakan tanah kediaman masing-masing di Taman Daya, Selayang.

Katanya, selain itu Kerajaan Negeri turut menyediakan peluang pinjaman tanpa faedah iaitu skim pinjaman Hijrah untuk golongan peniaga di negeri itu.

Terdahulu, ketika membentangkan Belanjawan 2017 pada Oktober lalu, Mohamed Azmin mengumumkan meneruskan pemberian pengecualian cukai taksiran kepada pemilik kediaman di kampung tradisi, kampung baru, kampung bagan, kampung tersusun dan rumah kos rendah buat dua tahun berturut-turut.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut meneruskan program memberi pengecualian fi lesen perniagaan kepada golongan penjaja di negeri itu.-NFN-

Tiada ulasan: