ANTARAPOS.COM
GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini mengarahkan News
Straits Times Press (M) Berhad (NSTP) membayar ganti rugi sebanyak
RM300,000 kepada Ketua Menteri Lim Guan Eng berhubung satu artikel yang
diterbitkan pada 20 Ogos 2015.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rosilah Yop turut mengarahkan NSTP membayar
RM35,000 sebagai kos dan faedah atas penghakiman sebanyak lima peratus
kepada Guan Eng.
Dalam penghakimannya, Rosilah berkata mahkamah mendapati bahawa laporan
yang ditulis oleh wartawan Berita Harian (BH), Siti Sofea Md Nasir itu
diputarbelitkan dan berunsur fitnah.
"Plaintif berjaya membuktikan imbangan kemungkinan kes itu terhadap defendan.
"Wartawan berkenaan tahu mengenai penghakiman persetujuan yang dicapai
di mahkamah. Pembelaan perlindungan bersyarat tidak diguna pakai kerana
ia laporan prosiding kehakiman yang tidak adil dan tidak tepat," katanya
ketika membacakan keputusannya hari ini.
Rosilah berkata ralat yang disiarkan BH susulan surat guaman Guan Eng juga 'tidak memuaskan hati secara keseluruhannya'.
Peguam Simon Murali mewakili Guan Eng manakala NSTP diwakili peguam Leong Wai Hong.
Sementara itu, Leong ketika ditemui pemberita selepas prosiding
tersebut, berkata beliau sedang menunggu arahan seterusnya sama ada mahu
membuat rayuan ataupun tidak.
Pada Mac 2016, Guan Eng memfailkan saman terhadap NSTP, mendakwa
penerbit BH itu mencetak dan menerbitkan satu artikel berhubung
prosiding mahkamah yang berlangsung sehari sebelumnya, dengan tajuk
'Guan Eng tarik balik saman terhadap bekas Ketua Pemuda Umno negeri'
pada 20 Ogos, 2015.
Menurut keterangan saksi Guan Eng, laporan BH menunjukkan seperti
pemimpin DAP itu menggugurkan tuntutan itu tanpa sebarang syarat
dikenakan kepada bekas Ketua Pemuda Umno negeri, Datuk Shaik Hussein
Mydin
Guan Eng mendakwa artikel itu antara lain menunjukkan seperti beliau
mengaku kalah, dan secara tersirat mengaku yang beliau tidak ada kes
terhadap penentangnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan