Khamis, 12 Januari 2017

Himpunan 355 bukan agenda politik PAS

Antarapos


 


SHAH ALAM, Selangor – Himpunan 355 (H355) bukan hanya semata-mata diwakili parti politik, sebaliknya ia turut disertai pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO).

Timbalan Presiden parti itu, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan meskipun ia dianjurkan PAS tetapi agenda yang dibawa itu tiada unsur politik atau perkauman seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Beginilah, himpunan ini melibatkan banyak pihak. Dan semua orang mahu membawa lambang kumpulan dia, bagi kita bukan satu benda yang tu (dangkal).

“Bagi kita, kalau satu kumpulan tu bawa bendera parti atau kumpulan dia, bagi nyatakan (suara) banyak pihak yang turut serta, tiada masalah.


“Ini bukan himpunan satu parti, Ini himpunan semua orang. Ini bukan perhimpunan PAS,” tegas beliau ketika dihubungi Antarapos.

Beliau berkata demikian sebagai membidas kenyataan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali semalam, bahawa penganjuran H355 seolah-olah untuk kepentingan parti PAS semata-mata, bukannya untuk Islam seluruhnya.

Semalam, Tuan Ibrahim menegaskan bahawa H355 yang bakal diadakan di Dataran Merdeka pada 18 Februari depan akan disertakan dengan solat hajat dalam jadual programnya.

Malah beliau menepis bahawa himpunan ini seperti demonstrasi yang sering dianjurkan pembangkang.
Kenyataan tersebut sebagai membidas cadangan Ibrahim Ali supaya PAS membatalkan H355, sebaliknya hanya mengadakan solat hajat serentak di seluruh negara.

Cadangan tersebut menurut Ibrahim Ali bagi menambah lebih penyertaan dalam anjuran program tersebut.

Tiada ulasan: