ULASAN Kebelakangan
ini saya terdengar dan membaca beberapa rungutan tentang dasar hari
tanpa plastik di negeri Selangor yang dikatakan menyukarkan pengguna.
Pada masa yang sama, saya juga membaca komen balas terhadap
rungutan-rungutan ini yang disifatkan sebagai mementingkan diri sendiri.
Sebenarnya ini bukanlah dasar baru. Ia juga telah
dilaksanakan di Melaka, Perak, Johor dan Wilayah Persekutuan pada tahap
berbeza. Di Selangor sendiri, sebelum ini hanya menjalankan dasar ini
pada hari Sabtu sahaja. Ia hanya mula dijadikan dasar harian sejak tahun
2017, iaitu kira-kira dua minggu lalu.
Sebenarnya banyak bandar, negeri dan negara yang telah
menjalankan dasar yang hampir sama. Ini termasuklah Denmark, Ireland,
Itali, Jerman, China, Australia dan ratusan majlis bandar raya di
Amerika Syarikat.
Semuanya dibuat dengan niat baik – memelihara dan
memulihara alam sekitar. Ini ditambah pula dengan dakwaan bahawa beg
plastik tidak mudah dilupuskan dan boleh memakan masa berdekad-dekad,
malah mungkin sehingga 1,000 tahun untuk dilupuskan.
Di samping itu, sikap pengguna yang tidak mementingkan
kebersihan dengan membuang plastik merata-rata turut menimbulkan
tanggapan bahawa dasar ini diperlukan bagi mengawal pencemaran, malah
terdapat beberapa kes di mana pembuangan plastik khususnya di laut dan
sungai telah mencemarkan ekosistem hidupan air.
Dengan dakwaan-dakwaan ini, pastilah dasar larangan penggunaan beg plastik yang diambil mempunyai asas yang baik.
Misi memelihara dan memulihara alam sekitar memang mesti
ditekankan dan disokong. Namun, apa juga dasar yang diambil oleh
mana-mana kerajaan mestilah dianalisa secara kritikal.
Ekonomi
Hampir serta-merta, bila pengguna perlu membayar 20sen
untuk setiap beg plastik yang diminta, apa yang terlintas kepada mereka
ialah “kami perlu membayar untuk menggunakannya”, bukan “kamu tidak lagi
boleh menggunakannya.”
Ini menjadi lebih dramatik jika dikatakan “kamu boleh
menggunakan plastik jika sanggup membayar (memberi gambarkan bahawa
orang yang mempunyai lebih kemampuan membayar diberi kelonggaran untuk
‘mencemarkan alam sekitar’ berbanding yang tidak sanggup membayar).
Siapa yang mendapat manfaat daripada kutipan jutaan
20sen ini? Bagi ramai orang ini tidak jelas. Pengguna merasakan penjual
mendapat lebih manfaat berbanding diri mereka. Bayangkan sehelai plastik
nipis dijual pada harga 20sen! Sekalipun wang ini pergi kepada kerajaan
negeri (merujuk kes di Selangor), pengguna tetap merasakan mereka perlu
membayar lebih.
Bayangkan dengan pembelian barangan RM20, mereka perlu
membayar 20sen bagi sehelai beg plastik yang mahu digunakan. Ini
bermaksud mereka perlu membayar satu peratus cukai sebagai tambahan
daripada enam peratus cukai barangan dan perkhidmatan.
Ya, walaupun jumlahnya 20sen. Jika enam peratus cukai
barangan dan perkhidmatan mendapat rungutan ramai, menambah satu peratus
lagi cukai tidak membantu meringankan beban perbelanjaan mereka.
Bagi menambahkan lagi tekanan ini, sesetengah aktivis
alam sekitar mencadangkan agar bayaran 20sen ini ditingkatkan kepada RM1
agar pengguna akhirnya tidak lagi menggunakan beg plastik.
Mungkin, pada tahap ini, wajar ditunjukkan sama ada
kesan bayaran 20sen ini benar-benar telah mengurangkan penggunaan beg
plastik atau ia sebenarnya tidak memberikan kesan yang signifikan kerana
pengguna akhirnya memilih untuk membayar bagi menggunakannya.
Mesra alam
Ramai yang menyokong dasar ini menyoal “mengapa tidak
membawa beg alternatif yang boleh dipakai ulang”? Ini disifatkan sebagai
sikap pengguna yang pentingkan diri sendiri. Mungkin ada benarnya.
Namun, David Tyler, profesor kimia di Universiti Oregon
dalam satu wawancaranya berpendapat sebaliknya. Dalam kajian menggunakan
teknik penilaian kitaran hidup (LCA), beliau menyimpulkan penggunaan
beg plastik biasa yang ringan (atau HDPE, polietilena berkepadatan
tinggi) di kaunter bayaran adalah yang paling mesra alam sekitar.
LCA ialah teknik menilai kesan alam sekitar yang
mengambil kira semua peringkat kehidupan produk bermula daripada
pengambilan bahan mentah, pemprosesan, pembuatan, agihan, penggunaan,
pembaikan dan penyelenggaraan dan pembuangan atau kitar semula.
Ia memperluaskan definisi konvensional kesan
persekitaran dengan mengambil kira semua maklumat tenaga dan bahan dan
kemudian kesan kaitan seperti perubahan iklim, asap, pencemaran air,
guna tanah dan sebagainya.
Dalam menggunakan teknik ini, kajian Agensi Alam Sekitar
di United Kingdom membandingkan tujuh jenis beg pembawa barangan
pengguna yang direka bentuk untuk pelbagai tujuan berbeza.
Mereka mempertimbangkan kesan daripada jumlah beg yang
diperlukan untuk membawa belian bulanan pengguna, yang jumlah penggunaan
jenis beg berbeza akan dihitung dan dibandingkan dengan penggunaan
semula beg HDPE untuk membuang sampah (selepas diguna sekali untuk
membawa barangan yang dibeli).
Antara aspek yang dibandingkan ialah potensi mengurangi
pemanasan global, penyusutan sumber,
pengasidan, eutrofikasi, ketoksikan
kepada manusia, ketoksikan kepada air mentah, hidupan air dan darat
serta pengoksidaan fotokimia (pembentukan asap).
Apakah penemuan yang diperoleh?
Sama seperti David Tyler, beg plastik adalah yang paling
mesra alam berbanding beg-beg lain yang dianggap sedemikian. Antara
perincian penemuan mereka ialah:
-
Beg barangan buatan kapas yang boleh digunakan semula mesti digunakan sebanyak 131 kali “untuk memastikan potensi pemanasan globalnya lebih rendah berbanding” sehelai plastik beg yang hanya digunakan sekali.
-
Beg buatan kain perlu digunakan selama 7.5 tahun (dengan anggapan belian barangan sekali seminggu) sebelum ia menjadi pilihan yang lebih baik untuk alam sekitar berbanding sehelai beg plastik yang digunakan sebanyak tiga kali.
-
Beg kertas, LDPE (polietilena berketumpatan rendah), polipropilena tanpa tenun (PP) dan kapas perlu digunakan masing-masing sekurang-kurangnya 3, 4, 11 dan 131 kali bagi memastikan potensi pemanasan globalnya lebih rendah berbanding beg plastic HDPE yang tidak digunakan semula.
Sebagai kesimpulan, kita boleh mengatakan bahawa kesan
sebenar terhadap alam sekitar daripada penggunaan beg pembawa barangan
adalah bergantung kepada penggunaan sumber dan tahap-tahap
penghasilannya.
Terlepas apa pun jenis beg, kunci utama untuk
mengurangkan kesan yang ada ialah penggunaan berulang yang cukup banyak
dan sikap pengguna yang bertanggungjawab.
Saya tidak secara mutlak mengatakan dasar yang diambil
salah, tetapi penelitian dan kajian lanjut mesti dibuat selaras dengan
tekad kerajaan negeri Selangor yang mahu mencapai bandar pintar.
AMIN AHMAD ialah Pengarah Eksekutif, Institut Kajian
Kepimpinan dan Pembangunan (Lead). Beliau lulusan Sains Perhutanan
daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan