Selasa, 3 Januari 2017

Amanah jadi "penyapu" bersih imej DAP, bidas Ulamak Pas

MALAYSIA DATELINE
 
 
Dr Khairuddin Aman RazaliDr Khairuddin Aman Razali


Parti Amanah Negara (Amanah) menjadi "penyapu" membersihkan imej DAP yang anti-Islam, bidas Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas Datuk Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad bahawa penyertaan pemimpin Pas dalam program anjuran Kelab Umno Luar Negara bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom sebagai usaha mambantu memulihkan tanggapan negatif terhadap Barisan Nasional (BN).

"Pan (Amanah) telah menjadi penyapu kepada imej DAP yang anti-Islam dengan pelbagai lagak dan gaya.

"Khalid sendiri menjadi hero yang mempertahan segala agenda DAP termasuk dalam menentang Rang Undang-undang (RUU) 355 bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)," katanya dalam satu kenyataan.

Khairuddin sebaliknya menjelaskan tindakan pemimpin Pas menyertai program anjuran Umno di London itu sebagai satu daripada beberapa acara untuk menjelaskan pelbagai isu politik di tanah air kepada warganegara Malaysia yang berada di perantauan.

"Kehadiran Pas dalam program penjelasan RUU355 anjuran Kelab Umno adalah siri penerangan bagi menjelaskan bahawa Pas sentiasa konsisten memperjuangkan Islam," katanya yang juga ahli Parlimen Kuala Nerus.

Beliau berkata, Pas sudah berjaya berdakwah kepada Umno sehingga parti itu menerima kepentingan untuk bersama memperkasakan Islam.

"Jika Umno bersedia membantu Pas dalam usaha RUU 355 menunjukkan bahawa Umno semakin menerima kepentingan bersama memperkasakan Islam.

"Itulah kejayaan dakwah Pas. Pas akan terus membina imej sebagai pejuang agama di mata ahli-ahli Umno," katanya.

Beliau juga menambah, sikap tidak senang duduk Khalid apabila Pas hadir ke majlis penjelasan mengenai Islam anjuran Umno, ia menunjukkan Amanah sangat bimbang dengan peningkatan imej Pas di mata rakyat.

“Apabila orang seumpama Khalid meroyan dengan kehadiran pimpinan Pas di majlis penjelasan Islam anjuran Umno sendiri, ia menunjukkan Amanah sangat bimbang dengan peningkatan imej Pas di mata rakyat,” katanya.

Program anjuran Umno itu disertai Khairudin bersama pemimpin Pas lain, termasuk Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dr Mohd Izani Husin, Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Muhtar Suhaili dan Timbalan Ketua Pemuda Pas, Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Tiada ulasan: