Ahad, 22 Januari 2017

51 sekolah di Kelantan ditutup akibat banjir

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
KOTA BHARU: Sebanyak 51 sekolah menengah dan kebangsaan di lima daerah di negeri ini ditutup berikutan banjir yang melanda negeri ini. 
 
Pengarah Pendidikan Kelantan, Jaafar Ismail, berkata sehingga jam 6 petang tadi sebanyak 51 sekolah di Kota Bharu, Pasir Puteh, Tumpat, Pasir Mas dan Bachok terbabit dijadikan pusat pemindahan sementara. 
 
Sekolah berkenaan akan ditutup esok sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan. "Daerah Pasir Mas sebanyak 19 sekolah, Kota Bharu (14), Pasir Puteh (7), Tumpat (8) dan Bachok tiga sekolah. 
 
"Sekolah ditutup kerana keadaan jalan yang dinaiki air dan membahayakan nyawa pelajar dan guru. "Kami akan sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa untuk memastikan keadaan benar-benar selamat sebelum memaklumkan pembukaan sekolah berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini. 
 
Jaafar berkata, bagi sekolah yang dijadikan pusat pemindahan, pihaknya akan meningkatkan aspek penjagaan kebersihan sekolah dan penyediaan makanan oleh pengusaha kantin bagi mengelakkan sebarang jangkitan penyakit. 
 
"Tahap keselamatan di semua sekolah yang terbabit sebagai pusat pemindahan juga akan ditingkatkan," katanya. 
 
Jaafar berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan sekolah yang terputus hubungan, dinaiki air dan yang digunakan sepenuhnya bagi menempatkan mangsa banjir, tidak akan beroperasi untuk persekolahan sehingga banjir pulih. 
 
"Sehingga kini sekolah yang terbabit dengan banjir akan bercuti sehingga ke tarikh yang akan dimaklumkan kelak mengikut keadaan semasa banjir. 
 
Kita sedang menunggu laporan terperinci daripada semua Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terbabit dan untuk mendapatkan jumlah terkini sekolah yang dijadikan pusat pemindahan," katanya.
 
 

Tiada ulasan: