GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 6 Disember ini
bagi pengurusan kes, lanjutan kes rasuah melibatkan Ketua Menteri Pulau
Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon berhubung
pembelian sebuah banglo di bawah nilai pasaran.
Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail menetapkan tarikh itu bagi
membolehkan pihak pendakwaan menyiapkan dokumennya yang dalam jumlah
banyak dan menyerahkan kepada pasukan pembelaan dan mahkamah.
Hadhariah berkata beliau tidak mahu kes itu tertangguh.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud dan Mohd
Dusuki Mokhtar. Lim diwakili peguam Gobind Singh Deo manakala peguam
Hisyam Teh Poh Teik mewakili Phang.
Pada 30 Jun lepas, Lim mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan
rasuah berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada
zon perumahan serta pembelian lot tanah dan banglo di bawah nilai
pasaran.
Bagi pertuduhan pertama, Lim didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua
Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang, telah menggunakan kedudukannya
untuk mendapatkan suapan bagi dirinya dan isterinya Betty Chew Gek
Cheng, dengan meluluskan Permohonan Perlingkungan Semula daripada Zon
Pertanian kepada Zon Perumahan Awam di Daerah Barat Daya Pulau Pinang
kepada syarikat Magnificient Emblem Sdn Bhd.
Lim, 56, didakwa melakukan kesalahan itu ketika mempengerusikan
mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Pulau Pinang di Bilik Gerakan,
Tingkat 28, Bangunan Komtar di George Town pada 18 Julai, 2014.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah
Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan
denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau
RM10,000, atau mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit
kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, Lim didakwa sebagai penjawat awam iaitu Ketua
Menteri Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah mendapatkan untuk dirinya
suatu barang berharga dengan suatu balasan yang diketahui tidak
mencukupi, iaitu lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di alamat No
25, Jalan Pinhorn, George Town di sini daripada Phang dengan harga RM2.8
juta.
Nilaian semasa hartanah itu adalah sebanyak RM4.27 juta dengan Lim
mengetahui bahawa Phang mempunyai hubungan dengan tugas-tugas rasminya.
Lim didakwa melakukan kesalahan itu di No 25 Jalan Pinhorn, George Town,
pada 28 Julai 2015, mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa
hukuman penjara maksimum dua tahun, atau dengan denda atau kedua-duanya,
jika sabit kesalahan.
Bekas pemilik banglo itu, Phang turut mengaku tidak bersalah terhadap
pertuduhan bersubahat bagi mendapatkan untuk diri Lim lot tanah dan
rumah itu di tempat dan pada tarikh sama.
Phang, 44, didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca
bersama Seksyen 165 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua
tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan