SETIU: Orang
ramai yang melihat kes kemalangan di Km 50, Jalan Kuala
Terengganu-Kampung Raja berhampiran Kampung Telaga Putat semalam yang
melibatkan seorang pegawai polis diminta tampil menyalurkan maklumat.
Dalam kejadian kira-kira 12.30 tengah
hari itu, pegawai wanita berkenaan Insp Junaidah Zainal, 31, tercedera
selepas menggelak sebuah kereta yang memotong di garisan berkembar.
Ketua Jabatan Siasatan dan
Penguatkuasaan Trafik Negeri, Supt Abd Razak Hassan berkata ketika
kejadian pegawai berkenaan dalam perjalanan dari Kuala Terengganu menuju
Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu bagi menyelesaikan kertas siasatan
trafik.
“Sejurus tiba di lokasi kejadian yang
juga kawasan selekoh, sebuah kereta yang datang dari arah bertentangan
telah memotong kereta di hadapannya.
“Pegawai berkenaan yang memandu kereta
Proton Persona terpaksa mengelak keretanya, namun hilang kawalan hingga
menyebabkan keretanya berpusing-pusing dan melanggar pokok di tepi
jalan,” katanya.
Akibatnya Junaidah yang bertugas di
Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu patah tulang paha
kiri dan kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah.
Orang ramai yang melihat kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Siti Munirah Mohktar di talian 011-14649202.— Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan