Oleh Haizal Yatiran
KUALA LUMPUR: Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Ahmad Yaakob adalah
calon paling layak untuk mengemudi parti berkenaan, kerana mempunyai
sifat sebagai seorang pemimpin Islam, kata Presiden Pertubuhan Muafakat
Sejahtera Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Ismail Mina.
Beliau merujuk kepada penolakan Ahmad terhadap jawatan Mursyidul Am
ketika mana namanya disebut-sebut sebagai calon yang paling layak
menggantikan tempat Almarhum Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia
baru-baru ini.
Hal ini kerana menurut beliau, seorang pemimpin terutama bagi parti
politik yang berteraskan Islam hanya akan menerima jawatan yang diberi
setelah diamanahkan oleh pengikut, bukannya dengan meminta-minta jawatan
tersebut.
"Betullah tu. Itulah sifat akhlak yang terbaik. Beliau tidak
berebut-rebut jawatan tersebut. Akhlak ini yang sepatutnya ada pada
pemimpin. Sekarang (yang lain) ini berebut-rebut," katanya kepada
Antarapos dalam satu wawancara hari ini.
Selain mempunya akhlak dan keperibadian yang baik, Ahmad Yaakob juga
dikatakan calon yang paling layak menggantikan Almarhum Haron Din kerana
jawatannya ketika ini sebagai Timbalan Mursyidul Am.
Malah Ismail menambah, situasi yang dialami Ahmad kini sama seperti
ketika Datuk Nik Aziz Nik Mat menyandang jawatan Mursyidul Am sebelum
ini dan pada masa yang sama merupakan Menteri Besar Kelantan.
"Ada ramai calon yang layak, ada beberapa nama boleh disebut, tapi pada
hemat saya datuk menteri besar Kelantan paling layak. sewaktu Datuk Nik
Aziz jadi menteri besar, (pada masa sama) menjadi Mursyidul Am. Datuk
menteri besar sekarang pun samalah. Lagipun dia sekarang Timbalan
Mursyidul Am," tambahnya.
Sejak kematian Haron Din, calon yang bakal menggantikan tempat
Allahyarham untuk mengemudi PAS dalam membawa hala-tuju parti itu
menjadi topik perbualan muktahir ini.
Haron Din meninggal dunia pada umur 76 tahun di Hospital Stanford
University di California, Amerika Syarikat, 16 September lalu.
Beliau sebelum itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan dirawat
dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) semasa menjalani rawatan jantung.
Almarhum meninggalkan seorang balu, Datin Khadijah Md Salleh dan lima orang anak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan