GEORGE TOWN: Kerajaan DAP Pulau Pinang berpendirian untuk tidak
mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi membantah cadangan kajian
semula persempadanan kawasan pilihan raya di negeri itu oleh Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR).
Pengerusi DAP negeri, Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri sebaliknya
akan mengemukakan bantahan kepada SPR sebagai pihak berkuasa tempatan.
Beliau berkata isu mengadakan PRN bagi membantah cadangan persempadanan itu di Pulau Pinang sebenarnya tidak berbangkit.
"Saya rasa kalau nak buat PRN, sudah buat tetapi...buat masa sekarang
perkara itu tidak berbangkit," katanya kepada pemberita semalam.
Pada Ahad, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menyatakan Pakatan Harapan
negeri akan bermesyuarat bagi mendapatkan pendirian bersama dalam
membantah cadangan kajian persempadanan itu.
Bagaimanapun, Chow yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Lalu Lintas dan
Tebatan Banjir negeri berkata beliau tidak dapat menghadiri mesyuarat
Pakatan Harapan itu yang diadakan pada Ahad.
Katanya beliau difahamkan kerajaan Pulau Pinang akan meneliti impak
kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya itu sebelum menentukan
tindakan yang akan diambil.
"Kajian mengenai perkara itu mungkin dapat dimuktamadkan dalam tempoh dua minggu lagi," katanya.
Menurutnya kerajaan Pulau Pinang merancang untuk menggunakan kuasa
sebagai pihak berkuasa tempatan bagi mengemukakan bantahan berhubung
proses persempadanan semula itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan