ALOR SETAR: Umno Kedah 'mengalu-alukan' sekiranya bekas Menteri Besar,
Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir mahu bertanding di negeri itu pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU).
Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Datuk Seri Ahmad Bashah Md
Hanipah berkata, pihaknya langsung tidak gentar, malah menambah, Mukhriz
berhak bertanding di mana-mana kerusi DUN Ayer Hitam dan Parlimen
Jerlun yang pernah disandangnya.
"Mungkin Mukhriz mahu bertanding di Parlimen Kubang Pasu yang pernah
disandang bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad. Kita alu-alukan dan kita
tidak gentar untuk berhadapan dengan parti itu," katanya kepada
pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2016
Peringkat Negeri Kedah, semalam.
Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar Kedah mengulas laporan media
mengenai kenyataan Mukhriz yang kini Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (PPBM) mengenai kesediaan untuk bertanding dalam PRU14 di
negeri kelahirannya itu.
Ditanya mengenai sokongan kepada PPBM, Ahmad Bashah berkata mereka yang
menyokong parti pembangkang itu adalah yang kecewa kerana tidak
mendapat sebarang jawatan dalam parti di peringkat cawangan.
"Parti itu (PPBM) hanya disokong oleh mereka yang kecewa dengan Umno
sama seperti pemimpinnya yang kecewa dengan Umno. Sekarang mereka yang
kecewa itu ada peluang untuk mendapat jawatan," katanya.
Ahmad Bashah berkata perkara itu tidak menggugat kedudukan Umno kerana
parti berusia 70 tahun itu telah menabur bakti kepada rakyat dan mereka
mampu menilai perjuangan yang dilakukannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan