N Faizal Ghazali
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tan Sri Muhyiddin
Yassin akan tampil di atas pentas PAS buat julung kalinya pada 1 Oktober
ini.
Sempena program Himpunan Harapan Semua anjuran PAS Terangganu itu,
Muhyiddin dijadual menyampaikan ceramah bersama Naib Presiden PAS Idris
Ahmad, Pengarah Pilihan Raya PAS Datuk Mustafa Ali dan Timbalan
Pesuruhjaya II PAS Terengganu, Yahaya Ali.
Penampilan Muhyiddin di program PAS itu menarik perhatian selepas
tersebarnya poster menampilkan anggota Parlimen Pagoh itu bersama
pimpinan PAS termasuk presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Perkara itu juga disahkan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Saiful Bahri Mamat kepada Malaysiakini hari ini.
Menurut Saiful Bahri, Muhyiddin dijemput atas kapasiti bekas timbalan
perdana menteri dan jemputan dibuat sebelum beliau menubuhkan BERSATU.
"Setakat ini betul lagilah, kita memang ada jemput sebelum beliau tubuhkan BERSATU lagi, sebagai bekas timbalan perdana menteri.
"Mesti orang nak dengar juga pandangan beliau kenapa keluar daripada Umno," katanya ketika dihubungi.
Fikir macam mana nak tarik
BERSATU ditubuhkan sebahagian besar bekas anggota Umno yang tidak bersetuju dengan kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.
Ia bermula dengan gerakan Deklarasi Rakyat yang menyaksikan Tun Dr
Mahathir Mohamad duduk sepentas dengan bekas musuh ketatnya seperti Lim
Kit Siang serta Mohamad Sabu.
Selepas BERSATU dibentuk parti itu menunjukkan kesediaan bekerjasama
dengan parti pembangkang lain menghadapi BN dalam pilihan raya.
Setakat ini pemimpin BERSATU termasuk Dr Mahathir pernah berceramah
di pentas Pakatan Harapan (HARAPAN). Bagaimanapun program di Terengganu
itu dilihat unik kerana PAS tidak merestui HARAPAN.
Saiful Bahri berkata, PAS yang kini mengamalkan politik matang dan
sejahtera sentiasa mengalu-alukan mana-mana pihak yang dapat menerima
prisip perjuangan parti itu.
"Sesiapa saja yang boleh menerima prinsip perjuangan PAS kita
alu-alukan. Sekarang ini di Terengganu dari segi politik hanya PAS dan
Umno saja.
"Jadi macam mana cara kita boleh tarik ahli Umno supaya meninggalkan Umno dan bersama dengan kita, kita tariklah," katanya.
Sementara itu menurut poster itu program tersebut berlangsung pada 28
hingga 1 Oktober di Kemaman, manakala ceramah melibatkan Muhyiddin itu
diadakan pada malam kemuncak program berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan