Khamis, 29 September 2016

PAS sedia kerjasama dengan pembangkang kecuali DAP, Amanah

Oleh Haizal Yatiran
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS bersedia mengadakan perbincangan untuk menjalin kerjasama politik dengan mana-mana parti dalam blok pembangkang, termasuk parti baru yang diasaskan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).
 
Bagaimanapun Ketua Dewan Ulamanya Datuk Mahfodz Mohamed berkata, PAS menolak untuk berbincang, apatah lagi bekerjasama dengan DAP dan Amanah.
 
"Dulu DAP yang  singkirkan kita, lepas itu PAS dalam muktamar putuskan hubungan dengan DAP. Kerana DAP memang menentang Islam berterusan, presiden kita (PAS) dah tegaskan tidak akan bekerjasama dengan DAP.
 
"Begitulah juga dengan Amanah. Amanah itu merupakan parti yang kecewa dengan PAS. Kita juga anggap (mereka) mengkhianati perjuangan PAS. Maka ketika ini kita memang tidak akan bekerjasama dengan kedua parti.
 
"Tapi yang lain, kita boleh berbincang. Macam sekarang dengan IKATAN. Mungkin dengan parti baru Bersatu (PPBM), walaupun kita belum membuat keputusan. 
 
"Tetapi itulah dasarnya, mana-mana parti yang nak kita bersama, mestilah syarat utamanya (dan) menerima dapat bersama-sama memahami perjuangan Islam. Jangan masuk campur, walaupun dia tak suka, diam sajalah," tambah Mahfodz.
 
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkenaan kerjasama parti itu bersama blok pembangkang.
 
Tuan Ibrahim membayangkan bahawa parti itu tidak akan menjalin sebarang kerjasama dengan parti pembangkang yang lain, terutama PKR dan DAP.
 
Ini kerana katanya, mereka sering menyerang dan memfitnah presiden dan PAS tetapi mahu menjalin kerjasama untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). 
 
Sebaliknya parti itu mahu memperkukuhkan blok Gagasan Sejahtera. 
 
Menurut Mahfodz lagi, kesediaan PAS untuk berbincang dengan blok pembangkang ketika ini adalah kerana transformasi yang dibuat parti itu dalam kaedah politiknya yang mengamalkan kematangan dan kesejahteraan.
 
Kita sekarang ini mempunyai kaedah yang baru dalam politik ini, berdasarkan kepada politik matang dan sejahtera. Kita boleh bekerjasama dengan mana-mana parti politik khususnya yang menyokong untuk mendaulatkan Islam," ujarnya.
 
 

Tiada ulasan: