Zikri Kamarulzaman
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) mempelawa ahli politik
kerajaan dan pembangkang untuk menyertai konvoi mempromosi perhimpunan
mereka pada 19 November ini.
Pengerusi BERSIH 2.0 Maria Chin Abdullah berkata pelawaan itu memang sentiasa dibuat pertubuhan berkenaan sebelum ini.
"Kami sudah menjemput mereka, sama ada dari BN atau pembangkang. Kami
memang sentiasa berbuat begitu," katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Pada 14 September lalu Malaysiakini menyiarkan laporan BERSIH menetapkan 19 November sebagai tarikh mengadakan perhimpunan kelima mereka dengan tema Satukan Tenaga, Malaysia Baru!
Untuk menggerakkan penyertaan massa BERSIH akan mengadakan konvoi
selama tujuh minggu ke seluruh negara mulai 1 Oktober ini bagi
menyampaikan maklumat mengenai perhimpunan itu.
BERSIH 5 dijangka lebih menarik kerana untuk kali pertama ia
berlangsung selepas beberapa bekas pimpinan atasan Umno mula bergerak
dalam sebuah parti berdaftar dan secara jelas bertujuan mengalahkan BN.
Maria
berkata antara tokoh yang akan terbabit dalam konvoi berkenaan ialah
bekas perdana menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia
(BERSATU) Tun Dr Mahathir Mohamad dan pemimpin veteran DAP Lim Kit
Siang.
Kedua-dua mereka pernah berseteru dan menjadi musuh ketat suatu ketika dulu.
Bagaimanapun Maria menafikan khabar angin yang kononnya mendakwa Dr
Mahathir dan Lim dilantik mengetuai konvoi masing-masing di wilayah
utara dan selatan.
"Semua pihak dialu-alukan menyertai program ini namun hanya mereka
yang bersetuju dengan tuntuan BERSIH akan membuat ucapan kepada umum,"
katanya.
Konvoi BERSIH 5 akan dilancarkan serentak di enam wilayah Kangar,
Perlis untuk wilayah utara; Johor Bahru, Johor (selatan), Kota Bharu
Kelantan (timur); Lumut, Perak (barat) Sandakan, Sabah dan Miri, Sarawak
di Malaysia Timur.
Ia akan berakhir dengan perhimpunan BERSIH 5 pada 19 November ini di Kuala Lumpur.
Perhimpunan itu diadakan bagi menuntut kerajaan melaksanakan pilihan
raya yang bersih, mengukuhkan demokrasi berparlimen, memperkasakan Sabah
dan Sarawak dan mendapatkan hak untuk berbeza pendapat.
Ia juga dibuat bagi mendesak supaya Datuk Seri Najib Razak meletak
jawatan ekoran dakwaan skandal rasuah yang dikaitkan dengannya.
Najib secara konsisten menafikan sebarang salah laku membabitkan dana awam seperti yang didakwa ke atasnya.
Kali terakhir BERSIH diadakan adalah pada tahun lalu dan menarik kira-kira 100,000 orang di tengah Kuala Lumpur
Tiada ulasan:
Catat Ulasan