Rabu, 21 September 2016

Marah hina Rosmah, media Umno gesa gantung kerjasama dengan Unesco


 
OLEH BORHAN AHMAD


Media milik Umno, MyKMU, mencadangkan agar kerajaan Malaysia menggantung semua kerjasama dengan The United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (Unesco) sehingga Ketua Pengarahnya, Irina Bokova memohon maaf secara terbuka.

Mereka juga perlu memberi penjelasan yang masuk akal dalam kontroversi membabitkan isteri Perdana Menteri Malaysia, Datin Seri Rosmah Mansor, kata editor laman Kelab Maya Umno itu.

"Menteri Pelajaran Malaysia juga perlu menggantung sementara pejabat Unesco Malaysia yang berada di bawah pembiayaan Kementerian Pelajaran Malaysia. Beranikah Datuk Seri Mahadzhir Khalid melakukan?" soal editor laman itu.

Menurut laman itu, tindakan Irina Bokova menjemput Datin Seri Rosmah mengambil anugerah penghormatan khas pada satu majlis yang dianjurkan bersama oleh Unesco pada 22 September 2016 tetapi kemudiannya membatalkan, hanya kerana pertanyaan Wall Street Journal dan The New York Times mengenai pembiayaan PERMATA, adalah sesuatu yang kurang ajar.

Unesco sebagai sebuah pertubuhan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang bertanggungjawab ke atas keilmuan dan ketamadunan tidak menunjukkan sikap organisasi yang bertamadun apabila menarik balik jemputan yang telah tersebar hanya kerana pertanyaan media tertentu, katanya lagi.

Laman ini juga mendakwa, tindakan menarik anugerah ini adalah konspirasi menjatuhkan perdana menteri oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dan kuncu-kuncunya.

"Apapun, kita tidak nampak bagaimana perkara ini boleh menjejaskan Perdana Menteri mahupun Rosmah sendiri. Yang nyata ini semua adalah sebahagian daripada konspirasi yang dirancang dan apa pun yang berkaitan konspirasi, semuanya tidak betul.

"Lagipun, bukan Rosmah yang terhegeh-hegeh mahukan anugerah tersebut, ia adalah mereka yang berkenaan sendiri nak bagi, kemudian mereka berkenaan juga yang membatalkannya kerana termakan dengan hasutan media asing upahan Mahathir," kata tulisan itu.

ROSMAH TOLAK

Sementara itu, Rosmah Mansor dan Program Permata Negara (PERMATA) menolak menerima anugerah ‘Lead by Example’ yang ditunda ke tahun depan.

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam kenyataan petang semalam berkata Rosmah memutuskan untuk mengelak perhatian daripada kerja-kerja membantu kanak-kanak di Malaysia.

Pada 18 September, menurut kenyataan itu, wakil tetap Malaysia ke Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu menerima e-mel daripada Prof Tudor Parfit, yang mempengerusikan lembaga penasihat akademik di jawatankuasa penganjur acara itu.

“Praffit menyebut (dalam e-mail) bahawa anugerah itu akan ditangguh ke 2017 kerana apa yang digelarnya sebagai 'gangguan' daripada Wall Street Journal dan New York Times berkaitan penajaan PERMATA,” menurut PMO.

Rosmah pada mulanya dikatakan akan menerima anugerah itu di New York pada Khamis 22 September ini, tetapi dikeluarkan daripada senarai pada saat-saat akhir.

PMO juga berkata kedua-dua pihak PERMATA dan Rosmah tidak memohon untuk anugerah itu.

Pejabat itu berkata, pada 8 September lalu, Irina Bokova atas kapasitinya sebagai ketua pengarah Unesco, menghantar surat kepada perdana menteri, Rosmah dan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman.

Surat itu menyebut, kata PMO, bahawa Rosmah diberi anugerah sanjungan khas dalam acara yang dianjurkan bersama oleh Unesco pada 22 September ini.

“Ini sebagai penghargaan terhadap usaha kerajaan Malaysia untuk melawan keganasan melalui sistem pendidikan, dan terutamanya pendekatan PERMATA yang diasaskan pada 2007 oleh Rosmah,” katanya,
PMO juga berkata PERMATA ditaja sepenuhnya bawah peruntukan kerajaan dan telus, serta laporan tahunannya diluluskan oleh parlimen.

“Segala perbelanjaan mengikut prosedur kewangan kerajaan.

“Ini bukan sahaja rekod awam, tetapi boleh dijelaskan dengan segera sama ada kami atau PERMATA ditanya sebelum penangguhan anugerah itu,” tambahnya.

PMO juga menyelar pihak yang cuba mempolitikkan kerja-kerja PERMATA yang disifatkan sebagai badan contoh untuk meningkatkan kualiti kanak-kanak.~M/dateline

Tiada ulasan: