Oleh Azizul Osman
KUALA SELANGOR: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Sallehen Mukhyi melahirkan
keyakinan parti itu akan membuka pintu rundingan terhadap Parti Pribumi
Bersatu Malaysia (PPBM) dalam soal pembahagian kerusi pada Pilihan Raya
Umum ke-14 (PRU14).
Bagaimanapun jelasnya, rundingan itu termaktub kepada kerusi-kerusi sedia ada yang dimiliki oleh PPBM sahaja.
Manakala Amanah pula, beliau menyerahkan kepada PKR dan DAP untuk
memberikan kerusi masing-masing kepada parti serpihan PAS itu, dan
bukannya menagih kerusi mereka.
"Bersatu (PPBM) saya fikir tidak akan bertanding dikerusi milik mereka
sahaja. Jadi saya fikir kita boleh bincang dengan Bersatu (PPBM) sahaja
kalau bertindih dengan kerusi PAS bertanding. Tetapi persoalannya yang
tidak ada kerusi sekarang adalah PAN (Amanah).
"Jadi masalah PAN (Amanah) ini kita sudah serahkan kepada DAP dan PKR
untuk beri laluan kepada PAN (Amanah) untuk bertanding. Itu terpulang
kepada mereka apa hendak buat dengan PAN (Amanah) ini?," katanya dalam
sesi temubual eksklusif bersama Antarapos.
Malah beliau berkata, soal pertandingan satu lawan satu untuk berdepan
dengan Barisan Nasional (BN) tidak akan menjadi masalah kerana parti
masing-masing mempunyai kerusi tersendiri.
Tetapi ujarnya, masalah pertindihan kerusi ini wujud disebabkan Amanah
tidak memiliki sebarang kerusi, dan mahu merampas kerusi PAS.
"Sekarang ini kalau hendak satu lawan satu, tidak ada masalah PAS boleh
bertanding di kerusi PAS, DAP bertanding di kerusi milik mereka, dan
PKR sama di kerusi milik mereka," katanya.
Rakyat lebih kenal logo PAS
Mengulas mengenai seruan supaya pembangkang bersatu di bawah satu logo
yang sama pada PRU akan datang, Sallehen berkata tiada keperluan untuk
berbuat demikian kerana sebelum ini Pakatan Rakyat (PR) tidak
menggunakan logo yang sama tetapi tetap mendapat sokongan rakyat.
Tetapi ujarnya, terpulang kepada keputusan pimpinan Pusat untuk menentukan perkara ini.
"Saya fikir kalau kita tidak bersatu di bawah satu logo pun tidak ada masalah yang besar sangat.
"Rakyat lebih kenal logo PAS sekarang berbanding kita nak perkenalkan logo yang baru.
"Cuma kalau hendak bernaung di bawah satu logo, kita serahkan kepada
parti untuk memutuskan samada PAS perlu bertanding di bawah satu logo
dan menerima logo yang dicadangkan.
"Kalau PAS terima logo ini bererti kita menerima prinsip kebersamaan dalam pakatan parti pembangkang," katanya.
Sebelum ini, Naib Presiden PPBM Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebelum ini
mencadangkan kepada parti-parti pembangkang agar bernaung di bawah satu
logo untuk tidak mengelirukan rakyat dengan penggunaan logo pada kertas
undi yang berbeza-beza mengikut parti-parti politik pembangkang pada
PRU14 akan datang.
Cadangan itu disambut baik PKR, Amanah dan DAP yang menyifatkan
penggunaan satu logo akan memberikan kelebihan kepada pembangkang dan
mampu untuk menyatukan parti-parti pembangkang yang kini berpecah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan