Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: BERJASA Parti Koperasi (BERJASA) yakin penyertaan mereka ke
dalam Gagasan Sejahtera pimpinan PAS akan menambah nilai selain
mengukuhkan blok ketiga itu, untuk menjadi parti altenatif selain Umno
Barisan Nasional (BN).
Presidennya Datuk Seri Mustapa Kamal Maulut bagaimanapun berkata
keputusan untuk menyertai Gagasan Sejahtera dibuat selepas permohonan
BERJASA untuk menyertai Pakatan Harapan (PH) tidak dilayan.
"Sebelum ini kita secara bersama sudah mengemukakan hasrat (untuk
sertai) Pakatan Harapan tetapi (kepimpinan gagasan itu) tidak mengambil
endah hasrat kita," dedah Mustapa ketika dihubungi Antarapos.
BERJASA semalam mengumumkan hasrat menyertai Gagasan Sejahtera sebagai
persediaan untuk menghadapi Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) yang
dijangka diadakan kurang dua tahun daripada sekarang.
Hasrat untuk menjadi parti komponen dalam Gagagsan Sejahtera
disuarakan kepada Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan yang
turut di saksikan Setiausaha Agung Parti Ikatan Malaysia (IKATAN),
Tengku Ahmad Mudzaffar Tengku Zaid.
Mengulas lanjut Mustafa berkata beliau yakin masa depan BERJASA bersama Gagasan Sejahtera, amat cerah.
Malah beliau berkata Gagasan Sejahtera yang dianggotai PAS, IKATAN dan
BERJASA sudah bersedia untuk menjadi alternatif kepada rakyat untuk
mengambil alih kerajaan selepas PRU14.
"Gagasan Sejahtera yang dianggotai oleh PAS, Parti Ikatan dan BERJASA
akan jadi altenatif kepada Umno yang memerintah sekarang. Walaupun
rakyat mendapati banyak kelemahan yang berada dalam pemerintahan Umno BN
tapi mereka sedang menunggu apakah parti altenatif untuk mereka sertai
dan memerintah Malaysia.
"Saya percaya bahawa dengan paduan PAS, Parti IKATAN dan BERJASA akan
saling "check dan balance" dan layak untuk kita jadi altenatif kepada
rakyat Malaysia," katanya lagi.
PAS membentuk Gagasan Sejahtera bersama IKATAN selepas enggan menyertai PKR, DAP dan Amanah untuk membentuk Pakatan Harapan.
Mustafa ketika ditanya apakah matlamat politiknya pada PRU14 kelak
berkata parti itu berhasrat untuk bertanding di lapan kerusi DUN
Selangor.
"BERJASA sebelum ini mengumumkan secara berperingkat akan bertanding
di lapan DUN di Selangor, dan akan umumkan kerusi mana. Tetapi bersama
dengan Gagasan Sejahtera kita akan berunding dengan PAS dan Ikatan di
kerusi-kerusi lain.
"Pada pandangan BERJASA adalah sangat strategik dan kita mempunyai
peluang untuk menang di tempat itu. Tambahan lagi pada pandangan kita
bahawa kerusi ini tidak ditandingi oleh PAS," ujar Mustafa.
Kerusi itu ialah Batang Kali, Kota Damansara, Semenyih, Jeram, Pelabuhan Klang, Dengkil, Kuang dan Hulu Bernam.
Mustafa sekali lagi menegaskan, hasrat BERJASA itu tidak mutlak dan terbuka untuk perbincangan dengan PAS dan IKATAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan