MELAKA: Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka, Datuk Khalid Omar
didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 16 pertuduhan menerima
suapan dan pengubahan wang haram berjumlah hampir RM1.28 juta.
Tertuduh yang berusia 56 tahun mengaku tidak bersalah atas semua
pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.
Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, penjawat awam itu didakwa
melakukan pengubahan wang haram berjumlah RM1,088,332.08 yang boleh
dihukum di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram,
Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram
(AMLATFPUAA) 2001 (Akta 613).
Jika sabit kesalahan, tertuduh yang diwakili peguam Azrul Zulkifli
Stork boleh dipenjara sehingga 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai
aktiviti haram itu atau mana yang lebih tinggi.
Bagi pertuduhan empat hingga 16, Khalid didakwa menerima suapan
sebanyak RM196,200 sebagai upah kerana melakukan suatu perbuatan
berhubung hal ehwal prinsipal.
Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang membawa hukuman
penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali
ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh di sekitar daerah Melaka Tengah antara Mac 2014 sehingga Ogos lalu.
Mahkamah membenarkan Khalid diikat jamin sebanyak RM250,000 dengan
seorang penjamin dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.
Kes itu disebut semula pada 4 November depan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan