Anne Muhammad
Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yakin himpunan besar-besaran
BERSIH 5 bagi menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Razak pada 19 November ini akan disertai oleh orang Melayu.
Katanya, ini kerana selain ahli Parti Amanah Negara (AMANAH), ahli
PAS juga akan turut serta kerana sejak dari dulu lagi mereka sudah
diasuh untuk menolak kezaliman dan protes itu selaras dengan perjuangan
BERSIH yang menuntut pilihan raya adil dan bersih.
“PAS walaupun dikatakan tidak hadir tapi saya yakin ahli-ahli PAS
akan hadir bersama sebab ini satu perkara yang telah jadi darah daging
orang PAS.
“Sekiranya
kepimpinan berubah dari segi pendekatan tapi saya yakin ia jadi cabaran
bagi PAS untuk halang ahli mereka turun bersama sebab dari dulu (ahli
PAS) telah ditabiyah (dididik) kewajipan menentang kezaliman,” katanya
yang juga adalah pengarah komunikasi AMANAH.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di pejabatnya di Shah Alam.
Sebelum ini, DAP dilaporkan berkata PAS harus menunjukkan komitmen
tidak berbelah bahagi terhadap matlamat untuk menumbangkan BN termasuk
menyertai perhimpunan BERSIH 5.
Namun setakat ini, PAS masih belum memutuskan penyertaannya dalam BERSIH 5 walaupun tarikh perhimpunan itu diumumkan.
Pada himpunan BERSIH 4, Ogos tahun lalu PAS tidak mengarahkan ahlinya
untuk bersama berhimpun sebaliknya hanya beberapa pimpinan sahaja yang
turun.
BERSIH 5 dijadualkan berlangsung pada 19 November yang tertumpu di Kuala Lumpur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan