Pagi pertama hari bekerja selepas cuti panjang bagi sebahagian penduduk di utara dan barat Selangor hari ini dikejutkan dengan fenomena limpahan air pasang besar.
Beberapa foto yang tersebar di media sosial menunjukkan kawasan di pekan Tanjong Karang dan jalan raya berhampiran Pantai Remis, Jeram di Kuala Selangor digenangi air laut.
Difahamkan fenomena air pasang besar kali ini adalah luar biasa dengan ketinggian mencecah 5.5 meter sehingga menenggelamkan jeti.
Dalam hal berkaitan, mesej berkaitan fenomena air pasang besar yang didakwa daripada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mulai tersebar di media sosial.
Mesej tersebut mengingatkan semua penduduk di kawasan terbabit supaya berwaspada terhadap fenomena yang berkaitan dengan daya tarikan graviti bulan sehingga memberi kesan terhadap paras air laut di bumi itu.
Turut disertakan jadual jangkaan fenomena tersebut bermula daripada 18 hingga 21 September dengan bacaan purata setinggi 5.45 meter.
Sementara itu, semakan Malaysia Dateline di laman web Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) mendapati bacaan air pasang di stesen Pelabuhan Klang diramalkan mencecah ketinggian 4.78 meter pada 6.40 pagi tadi.
Dalam hal berkaitan sumber dari Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberitahu bantuan bencana alam nelayan sedang dipertimbangkan ekoran fenomena ini.
Akhir tahun lalu, Kuala Selangor menyaksikan bencana banjir terburuk pernah melanda dalam tempoh lima tahun.
Ribuan penduduk di kawasan itu terjejas dengan air bah mengambil masa hampir dua minggu untuk surut.
Pegawai Daerah Kuala Selangor, Shamsul Shahril Badlisza Mohd. Noor sebelum ini dilaporkan akan mengambil tindakan antaranya menaik taraf sistem perparitan dan kolam takungan bagi mengelak banjir berulang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan