KUALA LUMPUR:
Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan akan
mengadakan pertemuan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan
Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM)
bagi membincangkan isu keselamatan murid semasa pergi dan balik sekolah.
Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Dr
Khair Mohamad Yusof berkata perbincangan itu diadakan kerana pihaknya
memandang serius beberapa insiden kemalangan yang bukan sahaja
menyebabkan kecederaan malah kehilangan nyawa murid.
Menurutnya perbincangan itu bagi
mengenal pasti sekolah-sekolah di seluruh negara yang berada di lokasi
berisiko tinggi kemalangan.
“Dalam hal ini kementerian menyambut
baik dan mengalu-alukan tawaran KDN khususnya Timbalan Perdana Menteri
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk menggunakan khidmat Rela bagi
mengawal lalu lintas di kawasan sekolah berikutan peningkatan kemalangan
melibatkan murid,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Ahmad Zahid yang juga Menteri
Dalam Negeri berkata perkara itu boleh dibincangkan bersama oleh pihak
sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Rela.
Pada 21 Sept lepas, seorang murid Tahun
Empat Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Medan, Bagan Serai di Perak, maut
akibat dilanggar treler ketika melintas untuk memasuki perkarangan
sekolahnya.
Sehari sebelumnya, murid Tahun Empat SK
Santong, Dungun di Terengganu maut selepas dirempuh sebuah kereta ketika
melintas jalan memasuki perkarangan sekolah.
Khair berkata Jabatan Pendidikan Negeri,
Pejabat Pendidikan Daerah dan sekolah juga diminta mematuhi arahan
surat pekeliling berkaitan iaitu Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 8/1999:
Keselamatan Diri Murid Dalam Perjalanan Pergi dan Balik Sekolah.
Selain itu, mereka juga perlu mematuhi
Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 10/2009: Pelaksanaan Program Pendidikan
Keselamatan Jalan Raya Dalam Bahasa Malaysia di Sekolah Rendah dan Surat
Pekeliling Ikhtisas Bil 8/2011: Pengurusan Keselamatan Murid di
Sekolah.
Sementara itu, Ketua Pengarah Rela Datuk
Kamariah Mohd Noah berkata pihaknya tidak mempunyai halangan menghantar
anggotanya membantu urusan kawalan lalu lintas di sekolah jika ada
permohonan daripada Kementerian Pendidikan atau pihak sekolah.
Beliau berkata Rela sedia menempatkan dua anggotanya di kawasan sekolah.
“Tetapi perkara itu bergantung kepada
tahap kesibukan lalu lintas dan risiko di kawasan itu. Mungkin juga
boleh ditempatkan sehingga empat anggota,” katanya kepada Bernama hari
ini.
Bagaimanapun, Kamariah berkata perkara
itu bergantung dengan keputusan Kementerian Pendidikan sekiranya ia
ingin mengambil perkhidmatan kawalan keselamatan swasta untuk mengawal
keselamatan di sekolah.— Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan