PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) hari ini mengadakan perjumpaan bersama
semua setiausaha agung parti komponen bagi membincangkan mengenai
persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dicadangkan Suruhanjaya
Pilihan Raya (SPR).
Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata
perjumpaan ini mahu memberitahu setiausaha agung parti komponen
menyerahkan usul bantahan kepadanya sebelum dikemukakan kepada SPR.
"Saya akan beri tempoh mungkin sehingga Selasa (depan) untuk
menyerahkan segala ketidakpuasan hati mereka," katanya kepada media
ketika ditemui selepas menghadiri majlis penutupan pertandingan menghias
dan persembahan kelas bersempena bulan kemerdekaan sekolah-sekolah
Putrajaya 2016, di sini.
Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh sebelum ini memaklumkan kajian
semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113
Perlembagaan Persekutuan dan Pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14
Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu.
Semua pihak diberi masa selama sebulan sehingga 14 Oktober untuk mengemukakan bantahan masing-masing.
Mengulas laporan mengenai Tan Sri Muhyiddin Yassin dicadangkan sebagai
calon perdana menteri jika pembangkang menang pada Pilihan Raya Umum
ke-14 (PRU14), Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan
berkata ia tidak akan menjadi kenyataan kerana pembangkang tidak akan
menang pada pilihan raya itu.
"Biarkan mereka bermimpi," katanya ringkas.
Cadangan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menamakan
Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)
sebagai calon perdana menteri ketika menjawab soalan hadirin dalam
ceramahnya di University of London, baru-baru ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan