Ahad, 14 Ogos 2016

PKR nafi PH amalkan politik emosi melampau

Oleh Zeannaima Md Yusof
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PKR menepis dakwaan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Pakatan Harapan (PH) mengamalkan budaya politik emosi, politiking melampau, permusuhan dan kemarahan membuta tuli dalam kalangan rakyat.
 
Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamaruddin berkata penilaian Hadi itu jauh tersasar sebaliknya beliau menegaskan PH mengamalkan budaya politik matang.
 
"Saya tak pasti tentang kenyataan (Hadi) itu. Sekiranya itu kenyataan dia saya ingat penilaian dia tu silaplah.
  
"Kita adalah parti masa depan yang akan buat perubahan. Dalam tempoh yang singkat kita amat tunjuk kematangan kita. Jadi kalau kita dianggap politik emosi dan sebagainya, itu (dakwaan Hadi) bukan politik matang. Jadi jauh sekalilah (dakwaan itu)," ujarnya ketika dihubungi Antarapos.
 
Hadi pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat PAS Pusat semalam mengumumkan permuafakatan partinya dengan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), dikenali sebagai Gagasan Sejahtera (GAGASAN).
 
Ahli Parlimen Marang itu kemudiannya menegaskan GAGASAN tidak akan bergabung dengan PH, kerana menolak politik yang diamalkannya.
 
PH menurut Hadi mengamalkan budaya politik emosi, politiking melampau, permusuhan dan kemarahan membuta tuli dalam kalangan rakyat.
 
Pengumuman itu membayangkan kesukaran pembangkang memastikan saingan dua penjuru untuk berdepan dengan Barisan Nasional (BN).
 
Ditanya respon Zuraida, Ahli Parlimen Ampang itu bagaimanapun bertegas, PKR tetap mahu meneruskan tahaluf siyasi dengan PAS walaupun parti itu menolak politik yang dibawa PH.
 
Zuraidah juga mengulangi pendirian PKR sebelum ini untuk berusaha mengajak semua parti pembangkang berunding dan mencapai kata sepakat bahawa hanya pertandingan dua penjuru akan diadakan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). 
 
"Pada pendiran PKR gabungan PAS dengan IKATAN, terpulang pada dia (PAS) untuk nak menamakan (pakatan baru) dan sebagainya. Tapi yang penting PKR telah buat komitmen dan ketetapan yang kita akan berusaha untuk pastikan PRU14 ini kita akan 'satu lawan satu'. 
 
"Kita akan usahakan habis-habisan sebab inilah peluang kita yang terbaik untuk tumbangkan BN," ujar Zuiraidah.
 
Justeru Zuraida menyeru pemimpin tertinggi parti politik pembangkang agar menetapkan matlamat untuk menumbangkan Umno BN sebagai agenda dan berusaha ke arah itu.
 
 

Tiada ulasan: