Selasa, 2 Ogos 2016

Parti Mahathir akan tenggelam - Ahmad Bhari

Ahmad Bhari Abd Rahman 
Ahmad Bhari Abd Rahman


"Parti baharu yang akan ditubuhkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad tidak akan bertahan lama dan akan tenggelam akhirnya kerana tiada sambutan,".

Itu kata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri Gombak Setia, Datuk Ahmad Bhari Abd Rahman kepada wartawan MalaysiaGazette yang memintanya mengulas tentang parti pembangkang baharu yang akan ditubuhkan oleh Mahathir.

"Yang menubuhkan parti ini adalah ahli-ahli serpihan UMNO yang kecewa dan niat mereka hanyalah untuk membalas dendam.

"Berdasarkan kepada pengalaman lalu, tidak ada parti serpihan yang akan kekal dalam politik kerana semuanya akan hanyut dan akhirnya tenggelam," katanya.

Jelasnya, biarpun ramai beranggapan penyokong Mahathir ramai, itu dilihat sebagai tanggapan yang belum pasti.

"Sebenarnya, tanggapan orang sahaja yang mengatakan penyokong Mahathir ramai dan mampu menggugat kerajaan dan pemimpin Barisan Nasional (BN).

"Hakikatnya, rakyat semakin menjauhi bekas Presiden UMNO itu kerana tidak sanggup lagi untuk melayan karenahnya yang tidak putus-putus memburukkan orang," ujarnya.

Tambahnya, Mahathir harus sedar pengaruhnya telah berkurangan dan sewajarnya kembali ke pangkal jalan dalam menghabiskan usia tuanya. - MalaysiaGazette


Tiada ulasan: