shahbudincotcom
Ketika
melancarkan sebuah model baru Proton tidak lama selepas Tun Mahathir
berundur dari syarikat kereta nasional itu, Najib mengambil kesempatan
menempelak kononnya sering berlaku campurtangan politik dalam syarikat
tersebut, tetapi ia kini telah berakhir di era kepimpinannya.
Walaupun
diketahui umum Tun Mahathir memandang jauh ke hadapan berkenaan
pengangkutan awam dengan memperkenalkan LRT, ERL, komuter,
memperkenalkan sistem bas dan lain-lain, manakala Najib hanya melakukan
sambungan saja, beliau tetap menyalahkan bekas Perdana Menteri itu atas
dakwaan tidak menyediakan pengangkutan awam yang mapan walaupun berkuasa
selama 22 tahun.
Najib
seolah-olah, dengan hanya pengenalan MRT yang dibawanya, mahu seluruh
kebaikan dan pujian berkaitan pengangkutan awam sertus-peratus
ditumpukan kepadanya seorang diri saja.
Apabila
tambang ERL dari pusat bandar ke KLIA dinaikkan dari RM35 kepada RM55,
Najib tidak melihat ia sebagai kegagalan pentadbirannya melakukan
rundingan, tetapi lebih menyalahkan era kepimpinan Tun Mahathir yang
memetrai perjanjian pada 1997 dahulu.
Najib
juga "masuk bakul angkat sendiri" kepada masyarakat India dengan
mengatakan sumbangan yang dilakukannya kepada komuniti itu lebih banyak
berbanding Tun Mahathir.
Hari ini, sekali lagi Najib membandingkan kebaikan dirinya berbanding Tun Mahathir berhubung dasar luar.
Kata
Najib, dasar luar Tun Mahathir sengaja berbentuk konfrontasi bertujuan
untuk meraih populariti peribadi, pendek akal dan merugikan diri sendiri
berbanding pendekatannya yang mementingkan kerjasama dan bukan
persengketaan serta meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan
peribadi.
Dalam beberapa ucapan lain, Najib
juga kerap meletakkan dirinya lebih baik berbanding Tun Mahathir seperti
berkaitan sistem pemilihan UMNO yang kononnya lebih terbuka,
menghapuskan beberapa akta dan sebagainya.
Apa sebenarnya masalah Najib sehingga beliau begitu kerap cuba membandingkan dirinya dengan Tun Mahathir?
Kenapa
beliau tidak pernah membandingkan dirinya lebih baik berbanding
pendahulunya yang sebenar iaitu Tun Abdullah Ahmad Badawi atau bapanya
sendiri, Tun Razak?
Mengapa Tun Mahathir saja yang kerap dijadikan perbandingan?
Kenapa nama dan kelibat Tun Mahathir begitu alergik dan seolah-olah melekat dalam pemikirannya?
Apakah Najib secara diam-diam sedang memasang impian mahu menjadi Perdana Menteri lebih daripada 22 tahun?
Sebenarnya
adalah perbuatan sia-sia bagi Najib membandingkan dirinya dengan Tun
Mahathir. Tidak perlu pergi terlalu jauh, jika dibandingkan dalam tempoh
tujuh pertama menjadi Perdana Menteri saja, Najib sudah terbukti "lebih
hebat" dan meninggalkan Tun Mahathir ketinggalan di belakangnya.
Apa pencapaian Tun Mahathir ketika tujuh tahun pertama menjadi Perdana Menteri?
Sudah tentu ramai yang lupa dengan pencapaiannya.
Tetapi,
seawal tujuh tahun menjadi Perdana Menteri, bermacam-macam "rekod" dan
"pencapaian gemilang" telah berjaya digapai oleh Najib.
Antaranya,
hutang tertinggi negara, pembaziran dan kemewahan di mana-mana, kenduri
kahwin anak perempuannya yang gilang-gemilang yang tidak pernah berlaku
sebelum ini, isterinya yang didedahkan dengan pelbagai barang mewah,
perhiasan mahal, percutian, penggunaan jet yang tiada tolok bandingnya
serta bermacam-macam gegak gempita lainnya.
Tidak
sekadar itu, Najib juga mencipta "rekod" sebagai penerima derma
terbesar dunia - dulu, kini dan selamanya dan melalui 1MDB serta
persahabatannya dengan Jho Low, nama Malaysia terus melonjak, tidak saja
di dalam negara dengan hutang besar dalam tempoh yang singkat dan
perbualan rakyat mengenainya, malah di persada antarabangsa turut
berlaku liputan media berterusan sepanjang masa serta lapan negara
terpaksa membuka kertas siasatan mereka.
Di
Amerika, melalui tindakan yang diambil oleh Jabatan Kehakiman AS dengan
bantuan FBI, nama Malaysia terus menjadi bualan dan beralih dari sebuah
negara demokrasi kepada ungkapan baru iaitu kleptokrasi.
"Kehebatan"
dan "kegemilangan" ini pasti akan berterusan, dikenang dan menjadi
sebutan lebih lama berbanding orangramai mengingati jasa-jasa Tun
Mahathir selama 22 tahun. Tiada mana-mana pemimpin lain yang mampu
menandinginya, baik Tun Mahathir atau sesiapa jua. Itu baru tujuh tahun
pertama saja, bayangkan betapa gemilangnya Malaysia jika Najib
berpeluang berkuasa lebih 22 tahun lamanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan