Beliau berkata beliau tidak pernah melakukan perbuatan tersebut atau mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh dianggap 'menikam belakang' perdana menteri sehingga hari ini sebagaimana didakwa blogger Yusman Zahari.
"Saya sentiasa menyokong tanpa berbelah-bagi malah ketika perdana menteri diserang berkaitan isu 1MDB dan wang derma RM2.6 bilion, saya adalah antara ketua UMNO bahagian yang secara terang, jelas dan tegas mempertahankan kepimpinan beliau.
"Niat buruk Yusman terserlah dengan mengadakan cerita yang tidak pernah berlaku dan menuduh Senator Ramli Sharif yang saya namakan sebagai Ahli Dewan Negara berada di barisan hadapan menyambut Tun Dr Mahathir pada 28 Julai lepas," katanya dalam satu kenyataan media pada Isnin.
Azlan berkata tulisan blogger itu bersifat pembohongan, fitnah dan berniat jahat selain cuba menimbulkan permusuhan antara beliau dengan perdana menteri dan membentuk persepsi negatif rakyat Perlis terhadapnya.
Katanya tuduhan blogger tersebut bahawa beliau tidak pernah menyokong perdana menteri secara terbuka dan mengadakan perjumpaan tertutup dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir semasa Mukhriz masih menteri besar Kedah juga adalah tidak benar.
"Saya mencabar Yusman membuktikan segala tuduhannya dan menuntut beliau menarik balik dakwaan, pembohongan dan fitnah serta memohon maaf secara terbuka kepada saya dalam masa terdekat.
"Sekiranya dia gagal berbuat demikian saya akan mengambil tindakan undang-undang dan menyaman beliau untuk membersihkan nama saya," kata beliau yang juga ketua UMNO bahagian Kangar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan