Rabu, 24 Ogos 2016

Kondo RM1.5j Untuk Chong Wei


Ganjaran buat jaduh negara. Eng Wei Chun bergambar bersama model kondominium Lavile Kuala Lumpur yang bakal menjadi kediaman buat Lee Chong Wei dan keluarganya sebaik sahaja ia siap dibina pada 2020.
 
 
KUALA LUMPUR: Beberapa hari sebelum berangkat ke Olimpok Rio, jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei berkunjung ke bilik pameran di Cheras untuk meninjau peluang pelaburan dalam kediaman kondominium.

Sekarang, pemaju hartanah yang ditemui Chong Wei, Orando Holdings mahu menghadiahkan sebuah unit bernilai RM1.5 juta kepada pemain badminton berusia 32 tahun itu di atas sumbangannya kepada sukan negara.

Unit kediaman yang berkeluasan 1,100 kaki persegi dan mempunyai tiga bilik tidur itu merupakan kondominium eksklusif Laville yang dirancang di Taman Maluri, dengan lokasinya menghadap Kuala Lumpur City Centre dan dilengkapi perabot.

"Pada masa ini, kita tidak mempunyai gelanggang badminton di kondominium. Mungkin kita akan minta arkitek untuk membina sekurang-kurangnya satu gelanggang yang kita boleh namakan sempena Datuk Lee Chong Wei," kata Pengarah Urusan Orando, Datuk Eng Wei Chun.

Wei Chun berkata, Chong Wei telah menunjukkan minatnya untuk membeli unit berkenaan sebelum terbang ke Brazil, sambil menambah bahawa beliau sebelum itu telah pun berhasrat untuk memberikan satu unit kepada pemain badminton itu.

"Saya secara sukarela melakukannya. Saya tunggu sehingga dia habis bermain di Olimpik dan beritahunya kemudian.

"Saya mahu berikan kejutan. Dia telah banyak menyumbang untuk negara," kata Wei Chun sambil menambah bahawa beliau berharap ia dapat menggalakkan lebih ramai golongan muda di negara ini untuk berjaya dalam bidang sukan.

Ditanya mengapa Chong Wei hanya seorang sahaja penerima pingat Olimpik negara yang menerima sebuah unit percuma daripada Orando, Wei Chun berkata, ia kerana Chong Wei merupakan wajah kontinjen Malaysia di temasya sukan antarabangsa dan pembeli yang berminat dengan hartanah itu.

"Akan ada peluang lain untuk penerima pingat Olimpik akan datang. Saya melihat perkara ini sebagai satu tanggungjawab sosial korporat.

"Kita mahu negara mempunyai masa depan yang cerah dan harmoni. Sukan menuju ke arah itu. Ia merupakan cara saya untuk memajukan sukan kita demi masa depan lebih baik buat Malaysia," katanya.
Kondominium setinggi 38 tingkat itu dijangka siap pada 2020.

Ia bukan satu-satunya ganjaran yang diterima oleh penerima pingat Perak di temasya Sukan Olimpik sebanyak tiga kali, selepas tewas kepada Chen Long dari China pada aksi final perseorangan lelaki.

Chong Wei bakal menerima RM637,888 daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), sebuah kereta Proton Suprima S 1.6L Turbo Premium dan sebuah kerusi urut Osim uDiva Classic.

Beliau juga akan menerima pencen bulanan sebanyak RM3,000 seumur hidup.

Chong Wei dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama kontinjen Malaysia pada pukul 1.30 petang Rabu.

Tiada ulasan: