IPOH:
Kerajaan Negeri Perak akan memberi insentif kepada penerjun negara
Cheong Jun Hoong atas kejayaannya meraih pingat perak bersama-sama
gandingannya Pandelela Rinong pada Sukan Olimpik Rio.
Menteri
Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata kerajaan negeri sedang
memikirkan jumlah insentif yang akan diberi memandangkan atlet itu telah
mencipta sejarah menjadi anak Perak kedua meraih pingat di sukan
Olimpik.
“Sebelum
ini, Cheah Soon Kit (pemain beregu badminton) memenangi pingat perak
dalam Olimpik Atlanta 1996, sekarang Jun Hoong meraih Perak, jadi sudah
tentu kita berbangga.
“Jadi
kerajaan negeri akan beri sesuatu kepada beliau selain insentif yang
akan diberikan oleh Majlis Sukan Negeri (MSN). Saya akan umumkan
kemudian,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat
Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.
Jun
Hoong dan Pandelela memenangi pingat perak yang merupakan pingat pertama
untuk Malaysia menerusi acara 10m platform seirama wanita di Pusat
Akuatik Maria Lenk di Rio De Janeiro awal pagi tadi dengan mengumpul
344.34 mata.
Sementara
itu, Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri
Datuk Shahrul Zaman Yahya berkata MSN akan mengkaji jumlah insentif yang
akan diberi kepada Jun Hoong.
“Kebiasaannya
MSN akan memberi insentif sebanyak RM15,000 kepada pemenang individu,
manakala berpasukan seperti bola sepak atau hoki seorang akan diberi
RM5,000,” katanya.
Dalam
perkembangan lain, Shahrul Zaman berkata beliau meminta semua pihak
tidak membuat sebarang tuduhan dan spekulasi berhubung kekecohan yang
berlaku selepas perlawanan Liga Super antara Perak dan Johor Darul
Ta’zim (JDT) di Stadium Perak Sabtu lalu.
“Semua
pihak diminta menunggu hasil siasatan polis dan tidak termakan dengan
sebarang elemen provokasi oleh pihak ketiga yang jika dibiarkan hanya
akan menimbulkan dendam,” katanya.
Mengenai
perlawanan Piala Malaysia antara Perak dan JDT di Stadium Tan Sri
Hassan Yunos di Larkin, Johor, malam ini, beliau yakin tuan rumah akan
mengambil langkah sewajarnya dan berharap penyokong kedua-dua pasukan
tidak melakukan sebarang provokasi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan