Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: DAP sehingga kini terus berdiam diri berhubung pendirian
parti itu untuk mengadakan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu
Malaysia (BERSATU) yang dipimpin bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin.
Terdahulu pada Isnin lalu, DAP mengadakan mesyuarat Jawatankuasa
Eksekutif Pusat (CEC) yang dikatakan bagi membincangkan pendirian
bersabit kerjasama itu setelah wujud tentangan dari Pemuda DAP.
Naib Pengerusi Kebangsaan, M. Kulasegaran enggan memberi sebarang komen berkenaan hal itu.
"Tiada komen," katanya ringkas ketika dihubungi Antarapos, hari ini.
Begitu juga dengan seorang lagi Naib Pengerusi Kebangsaannya, Chow Kon
Yeow, yang memberi alasan tidak hadir ke mesyuarat tersebut kerana
terikat dengan komitmen lain di Pulau Pinang.
Malah usaha Antarapos untuk mendapatkan reaksi dari pimpinan lain
seperti Tan Kok Wai, Gobind Singh Deo, Teresa Kok, Datuk Ngeh Koo Ham,
Charles Santiago, Datuk Teng Chang Kim, Liew Chin Tong dan Anthony Loke
juga gagal.
Gobind, yang ditemui Antarapos pada malam Isnin lalu sejurus selepas
mesyuarat tamat hanya memaklumkan perbincangan itu adalah mengenai
penubuhan BERSATU dan usaha ke arah kerjasama bagi menghadapi
Umno-Barisan Nasional.
Tidak mengulas lanjut, beliau hanya meminta pemberita menunggu sehingga kenyataan rasmi dikeluarkan dalam masa terdekat.
Untuk rekod, Pemuda DAP sebelum ini menolak kerjasama dengan BERSATU
yang didakwa mengamalkan diskriminasi kaum malah menyifatkan ia tiada
berbezanya dengan Umno.
Menurut jurucakapnya Chiong Yoke Kong, parti politik yang mengamalkan
diskriminasi kaum tidak akan menyelamatkan Malaysia sebaliknya hanya
akan terus bermaharajalela di negara ini.
Sebaliknya bagi PKR, parti itu sama sekali tidak menolak untuk
kerjasama dengan parti yang diasaskan bekas Perdana Menteri Tun Dr.
Mahathir Mohamad.
Presidennya Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata parti itu
terbuka dan sedia bekerjasama menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)
akan datang bagi misi menjatuhkan Umno-BN.
BERSATU yang didaftarkan pada 9 Ogos lalu oleh Muhyiddin sebagai sebuah
parti nasionalisme Melayu yang terbuka kepada semua warga negara
Malaysia dan Bumiputera termasuk di Sabah dan Sarawak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan