Selasa, 2 Ogos 2016

50 rumah setinggan musnah dalam kebakaran di Tawau

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
TAWAU: Kira-kira 50 rumah musnah akibat kebakaran di Kampung Tanjung Batu Laut Tengah, dekat sini, tengah hari tadi.
 
Dalam kejadian bermula kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, api dikatakan berpunca dari sebuah rumah sebelum merebak dengan pantas berikutan keadaan berangin serta kedudukan rumah di perkampungan yang rapat antara satu sama lain.
 
Kejadian mengakibatkan sebahagian besar mangsa gagal menyelamatkan harta benda dan barangan berharga.
 
Dua anggota bomba turut dilaporkan mengalami sesak nafas, dipercayai berikutan asap tebal sebelum mereka dihantar ke Hospital Tawau untuk rawatan dan keadaan kedua-duanya dilaporkan stabil.
 
Tiada penduduk dilaporkan cedera atau membabitkan kehilangan nyawa. Ia kebakaran besar kedua di daerah ini dalam tempoh lima hari selepas 30 rumah hangus di Kampung Pukat Tanjung Batu Laut, dekat sini, mengakibatkan lebih 100 penduduk hilang tempat tinggal, Jumaat lalu.
 
Ketua Zon, Bomba dan Penyelamat Bahagian Tawau, Penguasa Kanan Bomba Ismaidi Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan jam 1.39 tengah hari sebelum menghantar 35 anggota bersama empat jentera ke lokasi, sambil dibantu polis dan pasukan bomba sukarela.
 
"Kebakaran itu membabitkan lebih 50 rumah musnah sama sekali selepas bergelut dengan kesukaran memadam kebakaran akibat bekalan air terputus.
 
"Api dapat dikawal sepenuhnya jam 3.48 petang tadi dengan punca kejadian serta anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya ketika ditemui di lokasi.
 
Penduduk, Bunga Manahau, 60, tidak dapat menahan sebak menyaksikan rumahnya musnah dimamah api sekelip mata.
 
"Kejadian begitu pantas, rumah yang kami duduki lebih 30 tahun musnah sama sekali. Ini ujian Allah dan sebagai hambanya kami reda walaupun tinggal sehelai sepinggang," katanya.
 
 

Tiada ulasan: