PETALING JAYA: Caj rawatan perubatan untuk bukan warganegara akan
meningkat sebanyak 70 peratus apabila kerajaan menghentikan pemberian
subsidi untuk golongan tersebut bermula 1 Januari depan, kata Menteri
Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
Caj tersebut akan mencerminkan kos rawatan sebenar yang terpaksa ditanggung kerajaan dan bakal meliputi semua rawatan.
Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya
pada pembentangan Bajet 2016 berkata kerajaan akan mengenakan caj
perubatan penuh terhadap bukan warganegara bermula tahun depan.
Bercakap kepada The Star, Dr Subramaniam berkata caj untuk rawatan
pesakit luar termasuk ubat-ubatan, misalnya, akan dinaikkan daripada
RM23.50 kepada RM40 manakala bayaran untuk rawatan pakar akan naik
kepada RM132.60 daripada RM78.
Katanya, kenaikan itu bukan satu isu untuk pekerja asing yang sah kerana mereka dilindungi insurans.
Kementerian itu pada mulanya merancang untuk meningkatkan bayaran
sehingga kos penuh dalam tiga peringkat bagi tempoh tiga tahun.
Namun kementerian itu sebaliknya memutuskan untuk melakukan ia dalam tempoh dua tahun.
Ditanya sama ada caj yang dikenakan itu akan membantu untuk
meningkatkan dana perbelanjaan kementerian tersebut, Dr Subramaniam
berkata ia hanya membantu sedikit.
Beliau berkata, dengan kira-kira 2.1 juta pekerja asing yang sah, ia
akan memberi kementerian RM40 juta tambahan kepada RM50 juta setahun.
Katanya, pekerja asing tanpa izin yang mendapatkan rawatan dari klinik atau hospital kerajaan juga akan dikenakan caj tersebut.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk
Shamsuddin Bardan berkata insurans untuk pekerja asing hanya meliputi
kos rawatan di hospital dan bukan untuk rawatan pesakit luar serta akan
meningkatkan bebanan kos kepada majikan.
Walaupun pekerja sepatutnya membayar kos rawatan pesakit luar dengan sendiri, kebanyakan majikan akan melunaskan bil tersebut.
Dengan kenaikan itu, beliau menyatakan rasa bimbang bahawa kos rawatan
di hospital juga akan meningkat sekali gus menaikkan premium insurans
yang kebanyakan kes ditanggung oleh majikan.
"Sekiranya kerajaan mahu mendapatkan lebih pendapatan, mereka juga
perlu mengenakan caj kepada warga asing yang bekerja secara tidak sah
kerana mereka yang diambil bekerja sudah membayar levi," katanya.
Shamsuddin berkata Jabatan Imigresen sudah mengenakan levi sebanyak
RM850 hingga RM2,000 bagi setiap pekerja asing dan ini perlu disalurkan
kepada Kementerian Kesihatan untuk menanggung penjagaan kesihatan
mereka.
"Dengan kos perubatan yang tinggi, pekerja mungkin tidak mahu
mendapatkan rawatan dan ini mungkin memberikan beberapa kesan," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan