SHAH ALAM - Barisan Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Semporna hari ini menzahirkan rasa kecewa tatkala mendengar khabar angin mengenai adanya usaha untuk menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yasin sebagai Timbalan Presiden Umno serta Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selaku Naib Presiden.
Memetik kenyataan AJK itu, menyatakan bahawa mereka menyatakan rasa kesal sekiranya perkara itu benar-benar berlaku kerana suara-suara pemimpin ini adalah mewakili rakyat kebanyakan, dan bukan bersuara atas kepentingan peribadi.
"Adakah bersuara demi kepentingan rakyat bukan lagi menjadi keutamaan kepada parti Umno? Adakah syarikat 1Malaysia Developmen Berhad (1MDB) ini sudah menjadi institusi yang lebih penting, berkuasa dan lebih besar pengaruhnya berbanding parti Umno sehinggakan mana-mana pemimpin yang mengkritik cara pentadbiran dan pengurusan syarikat ini bakal berdepan dengan ancaman digantung, di lucut atau di pecat keahlian mereka?
"Adakah 1MDB ini milik Umno? Adakah dengan menyokong 1MDB ini dapat menguatkan parti Umno? Hari ini Umno berhadapan dengan masalah kemerosotan keyakinan rakyat terhadap parti dan ini dapat di buktikan dengan keputusan dua pilihan raya umum yang lepas malah buat pertama kali dalam sejarah, Umno kalah "Popular Votes" kepada pembangkang," petik kenyataan itu.
Dalam pada itu, AJK itu, mempersoalkan adakah dengan membuang'pemimpin-pemimpin itu dapat mengembalikan dokongan rakyat kepada Umno
"Adakah dengan penyingkiran, pengantungan dan pemecatan pemimpin dan bekas pemimpin Umno yang telah banyak berjasa kepada perjuangan parti ini dapat mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti Umno.
"Sedarkah para pemimpin serta Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Adnan Tengku Mansor bahawa majoriti ahli Umno dan rakyat percaya bahawa pemimpin-pemimpin yang kononnya di khabarkan sedang dipantau ini telah menyuarakan sesuatu isu yang sememangnya dekat dengan hati rakyat?
"Kuat sangatkah Umno pada hari ini hinggakan kita seolah-olah lupa bahawa asas kepada perjuangan Umno adalah perjuangan untuk kepentingan rakyat, dan bukan kepentingan pemimpin?" petik kenyataan itu.
Terdahulu, Tengku Adnan berkata, langkah disiplin terhadap tujuh pemimpin Umno akan diambil selepas proses berkaitan selesai dibuat.
Katanya: "Umno sudah penat melayan anggota parti yang mengeluarkan kenyataan tidak sesuai kepada orang umum sehingga 'merosakan' parti."
Tambah kenyataan itu lagi, sehingga ke hari ini, baik Muhyiddin malah Shafie tidak pernah mengeluarkan kenyataan bahawa mereka menuduh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah melakukan penyelewangan di dalam skandal 1MDB ini dan mereka secara konsisten hanya mengeluarkan kenyataan bahawa pihak pengurusan 1MDB serta kementerian kewangan perlu telus, jujur dan konsisten dalam menyatakan dan menjelaskan kepada rakyat setiap persoalan-persoalan yang menjadi tanda tanya dan keraguan kepada rakyat.
“Menyingkirkan pemimpin-pemimpin ini secara langsung akan menghakis kepercayaan ahli terutama golongan muda terhadap Umno itu sendiri.
"Hari ini golongan muda dahagakan pemimpin yang berani menyatakan kebenaran dan bukan pemimpin yang banyak mengeluarkan kenyataan bongkak, retorik dan mengampu sebagaimana yang berlaku sekarang.
"Malah lebih teruk, kenyataan-kenyataan berbentuk cabaran agar pemimpin-pemimpin tertentu keluar daripada Umno atau Barisan Nasional jika tidak menyokongan kepimpinan Perdana Menteri," petik kenyataan itu.
Sementara itu, AJK itu berkata perbezaan pendapat atau teguran bukan bermakna tidak menyokong kepimpinan tapi pastinya setiap perbezaan dan teguran itu perlu diterima secara positif jika ianya terbukti untuk kebaikan rakyat.
Dengan cara itulah, sekurang-kurangnya kita dapat tunjukkan kepada rakyat khasnya golongan muda Umno adalah parti yang sentiasa bersifat terbuka dalam menerima kritikan dan teguran malah pemimpin-pemimpin Umno sendiri boleh mengkritik pemimpin parti jika ianya untuk kebaikan rakyat.
"Perlu kita ingat bahawa setiap undi dan kerusi pada PRU14 yang akan datang adalah penting kepada survival Umno dan tujuh pemimpin yang di sebut-sebut itu juga terutama Timbalan Presiden Umno dan Shafie selaku Naib Presiden Umno mempunyai penyokong tegar mereka bukan hanya di kawasan yang mereka wakili malah di seluruh negara jika tidak, mana mungkin mereka mampu bertahan didalam politik hingga ke hari ini.
"Dalam konteks Sabah pula, Shafie merupakan salah satu pemimpin yang bertanggungjawab dalam membawa parti Umno ke Sabah, dan apa nasihat yang kita ingin sampaikan kepada generasi muda dan rakyat pada keseluruhannya terutama di bumi Sabah ini jika pemimpin yang berjasa menbawa Umno masuk ke Sabah malah cemerlang dalam memikul tanggungjawabnya baik sebagai ahli Parlimen dan bekas Menteri di tujuh kementerian disingkirkan hanya kerana menyatakan kebimbangannya terhadap penerimaan rakyat terhadap Umno dan bersuara demi kepentingan rakyat?" kenyataan itu dipetik lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan