Selasa, 27 Oktober 2015

Caj perubatan untuk bukan warganegara naik 70 peratus

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
PETALING JAYA:  Caj rawatan perubatan untuk bukan warganegara akan meningkat sebanyak 70 peratus apabila kerajaan menghentikan pemberian subsidi untuk golongan tersebut bermula 1 Januari depan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.
 
Caj tersebut akan mencerminkan kos rawatan sebenar yang terpaksa ditanggung kerajaan dan bakal meliputi semua rawatan.
 
Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya pada pembentangan Bajet 2016 berkata kerajaan akan mengenakan caj perubatan penuh terhadap bukan warganegara bermula tahun depan.
 
Bercakap kepada The Star, Dr Subramaniam berkata caj untuk rawatan pesakit luar termasuk ubat-ubatan, misalnya, akan dinaikkan daripada RM23.50 kepada RM40 manakala bayaran untuk rawatan pakar akan naik kepada RM132.60 daripada RM78.
 
Katanya, kenaikan itu bukan satu isu untuk pekerja asing yang sah kerana mereka dilindungi insurans.
 
Kementerian itu pada mulanya merancang untuk meningkatkan bayaran sehingga kos penuh dalam tiga peringkat bagi tempoh tiga tahun.
 
Namun kementerian itu sebaliknya memutuskan untuk melakukan ia dalam tempoh dua tahun.
 
Ditanya sama ada caj yang dikenakan itu akan membantu untuk meningkatkan dana perbelanjaan kementerian tersebut, Dr Subramaniam berkata ia hanya membantu sedikit.
 
Beliau berkata, dengan kira-kira 2.1 juta pekerja asing yang sah, ia akan memberi kementerian RM40 juta tambahan kepada RM50 juta setahun.
 
Katanya, pekerja asing tanpa izin yang mendapatkan rawatan dari klinik atau hospital kerajaan juga akan dikenakan caj tersebut.
 
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata insurans untuk pekerja asing hanya meliputi kos rawatan di hospital dan bukan untuk rawatan pesakit luar serta akan meningkatkan bebanan kos kepada majikan.
 
Walaupun pekerja sepatutnya membayar kos rawatan pesakit luar dengan sendiri, kebanyakan majikan akan melunaskan bil tersebut.
 
Dengan kenaikan itu, beliau menyatakan rasa bimbang bahawa kos rawatan di hospital juga akan meningkat sekali gus menaikkan premium insurans yang kebanyakan kes ditanggung oleh majikan.
 
"Sekiranya kerajaan mahu mendapatkan lebih pendapatan, mereka juga perlu mengenakan caj kepada warga asing yang bekerja secara tidak sah kerana mereka yang diambil bekerja sudah membayar levi," katanya.
 
Shamsuddin berkata Jabatan Imigresen sudah mengenakan levi sebanyak RM850 hingga RM2,000 bagi setiap pekerja asing dan ini perlu disalurkan kepada Kementerian Kesihatan untuk menanggung penjagaan kesihatan mereka.
 
"Dengan kos perubatan yang tinggi, pekerja mungkin tidak mahu mendapatkan rawatan dan ini mungkin memberikan beberapa kesan," katanya.
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.