KUALA LUMPUR: PAS menunggu keputusan Mahkamah Tinggi untuk membawa
semula usul persendirian (private bill) meminda Akta Mahkamah Syariah
(Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang akan dibawa ke sidang Parlimen.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, selepas keputusan itu
dibuat, barulah PAS boleh kemukakannya semula di Dewan Rakyat.
"Kita tunggu keputusan mahkamah, ini ada kena mengena dengan mahkamah
kerana bukan sahaja saya, termasuk Speaker di bawa ke mahkamah oleh
pihak tertentu," katanya kepada pemberita di dalam satu sidang media
yang diadakan di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Beliau mengulas tentang usul tersebut yang tidak diusulkan pada sesi Parlimen kali ini.
Katanya, beliau perlu menunggu keputusan permohonannya dan empat yang
lain bagi membatalkan saman empat individu berhubung pembentangan rang
undang-undang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)
1965 dalam sidang Parlimen.
Keputusan itu ditetapkan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 November depan.
Abdul Hadi dalam pada itu berkata, sebarang isu membabitkan
perbincangan di dalam Dewan Rakyat sepatutnya tidak boleh dibawa keluar
dari Dewan.
"Kalau dibawa ke Parlimen pun tidak boleh bincang buat masa ini kerana
ikut 'standing order' Parlimen, perkara mahkamah tidak boleh dibincang
di Parlimen," jelasnya.
Pada Jun, Mansoor Saat, Azira Aziz, Hasbeemaputra Abu Bakar dan Hazwany
Jamaluddin memfailkan permohonan, memohon perisytiharan yang cubaan
Hadi membentangkan rang undang-undang persendirian itu bertentangan
dengan Perlembagaan Persekutuan.
Selain Hadi, mereka turut menamakan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri
Pandikar Amin Mulia, timbalan speaker Datuk Ronald Kiandee dan Datuk
Ismail Mohamad Said, dan setiausaha Parlimen sebagai defendan.
Empat individu itu berkata, rang undang-undang persendirian itu
merupakan "pintu belakang" sebagai percubaan untuk mengubah
perlembagaan, memberi amaran yang cadangan itu akan mempunyai implikasi
yang lebih luas, bukan hanya di Kelantan, tetapi juga atas semua umat
Islam di negara ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan