Rabu, 28 Oktober 2015

‘Muhyiddin punca guru sokong pembangkang’

MALAYSIAKINI


 


Dalam serangan terbaru terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, portal MyKmu.net membidas sistem 1Bestari.Net.

Menurut portal itu, sistem yang diperkenalkan oleh Muhyiddin yang jugaadalah Menteri Pelajaran sebelum pemecatannya cukup membebankan guru di seluruh negara sehingga menyebabkan mereka beralih kepada pembangkang.

Guru-guru, katanya, bukan sahaja terpaksa mengendalikan pelajaran tetapi melakukan kerja-kerja perkeranian dengan memasukkan data pelajar ke dalam sistem komputer.

“Tujuan itu memang baik tapi masalahnya infrastruktur tidak lengkap lagi.

“Ramai guru mengeluh kerana sistem ini memakan masa mereka akibat talian yang sibuk bila terlalu ramai guru hendak memasukkan data pada masa yang sama.

“Ironinya, penyedia perkhidmatan bagi sistem ini adalah kroni Mahathir, tuan baru Muhyiddin sekarang,” kata portal yang adalah penyokong tegar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut MyKmu, lama-kelamaan, keadaan ini menyebabkan guru-guru membenci kerajaan kerana dilihat cuba menyusahkan mereka.

Katanya, seperti mana biasa apabila guru tidak boleh meminta pertolongan, mereka mengalihkan perhatian kepada pembangkang untuk mendesak kerajaan.

“Institusi perguruan yang dulu terkenal menghasilkan pemimpin hebat Umno seperti Tan Sri Isa Samad dan lain-lain, akhirnya bertukar menjadi lubuk pembangkang.

“Lebih teruk lagi ada yang mengambil peluang memburukkan kerajaan dalam masa yang sama, terhasillah generasi kurang ajar yang ramai kita lihat hari ini,” kata MyKmu.

Projek 1BestariNet telah dijalankan oleh Kementerian Pendidikan dengan kerjasama konglomerat perniagaan YTL.

Tiada ulasan: