KUALA LUMPUR: PAS bersedia bekerjasama dengan kerajaan bagi
menyelesaikan permasalahan rakyat sejajar dengan peranannya sebagai
pembangkang yang 'menerang bukan menyerang', kata Presidennya, Datuk
Seri Abdul Hadi Awang.
"PAS bersedia bertemu dengan kerajaan dan bersemuka dengan siapa sahaja
kementerian termasuk Perdana Menteri untuk mengemukakan
cadangan-cadangan kita dalam perkara yang kita tidak setuju.
"Contohnya GST, PAS tidak setuju GST dan PAS ingin mencadangkan apakah
alternatif untuk menampung hasil kerajaan selain daripada GST, kita ada
cadangan kita yang kita tidak cukup masa untuk kita bentang di Parlimen
termasuklah penurunan nilai mata wang.
"Kita ada pendekatan kita bagaimana hendak menaikkan nilai mata wang
dan mempertahankan mata wang kita," katanya kepada pemberita di dalam
satu sidang media yang diadakan di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun meletakkan syarat tertentu dalam keterbukaan parti menjalinkan kerjasama tersebut.
"PAS akan terus jadi pembangkang dan PAS tidak akan menyertai kerajaan,
PAS akan jadi pembangkang yang menerang bukan menyerang, yang menerang
hujah dan tidak menyerang, ini adalah pendekatan yang kita ambil.
"Sebarang perubahan yang diambil hendaklah berteraskan kepada Islam yang menjadi dasar dan konsep perjuangan PAS," katanya.
"PAS tidak akan menyertai sebarang langkah yang tidak berteraskan
kepada Islam dan tidak mencapai matlamat kerana kita tidak mungkin naik
bas ekspress yang tidak sampai ke destinasi yang kita hendak pergi.
"Lepas itu kena jalan kaki jauh," katanya lagi.
Beliau dalam pada itu turut berkata, sebarang kerjasama perlu berlandaskan tatatertib yang sopan.
"Kita mahu proses demokrasi yang beradab dan berakhlak dan tidak boleh
melupai konsep Raja Berperlembagaan dan dalam masa yang sama mesti
memelihara konsep masyarakat bermajmuk.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan