Khamis, 29 Oktober 2015

JAKOA, JPN Kelantan laksana program tarik minat murid orang asli kembali ke sekolah

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Kelantan akan bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan (JPN) negeri itu, dalam melaksanakan program bagi menarik minat murid Orang Asli di Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, agar kembali ke sekolah.
 
JAKOA dalam kenyataan berkata, kehadiran pelajar di SK Tohoi menurun kepada 50 peratus, berbanding 85 peratus sebelum tragedi yang menimpa empat pelajar sekolah berkenaan.
 
"Melalui kerjasama antara JPN Kelantan dan JAKOA Kelantan dengan dibantu NGO lain seperti Persatuan Orang Asli Kelantan (POAK), usaha-usaha sedang dijalankan bagi mengatasi masalah ketidakhadiran pelajar dengan membuat lawatan rumah ke rumah untuk bersua muka dengan ibu bapa pelajar," kata kenyataan itu.
 
Menurut kenyataan itu, JAKOA juga sedang menimbang beberapa insentif kepada ibu bapa yang menghantar semula anak mereka ke sekolah, seperti menyediakan sumbangan bakul makanan dan menyediakan rumah transit di Tohoi bagi membawa ibu bapa melawat anak-anak mereka yang tinggal di asrama.
 
JAKOA turut akan mewujudkan majlis muafakat dengan JPN Kelantan untuk menangani isu-isu melibatkan pelajar dan melaksanakan program-program pembugaran emosi bagi pelajar tinggal di asrama, selain menempatkan pasukan khas, 'Smart Supporting Team' terdiri daripada ahli kaunselor di perkampungan Orang Asli di sekitar Gua Musang.
 
JAKOA juga menegaskan bahawa pihaknya sangat mengambil berat mengenai pendidikan anak-anak Orang Asli di negara ini, dan pelbagai usaha akan dilakukan agar mereka mendapat pendidikan yang sempurna. 
  


Tiada ulasan: