KUALA LUMPUR,  Seorang wanita Orang Kurang Upaya (OKU) maut selepas terjatuh dari tingkat 23 kediamannya di sebuah kondominimun di Seksyen 5, Wangsa Maju, pagi tadi.


Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa yang tinggal bersama ayahnya, dikatakan terperangkap dalam tandas rumah selepas pintu terkunci dari dalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, ketika kejadian, bapa mangsa yang bekerja sebagai kontraktor sedang melayari internet.

“Bapa mangsa cuba membuka pintu tandas yang terkunci dari dalam, namun gagal.

“Kunci pendua yang berada di tepi tandas turut dibawa masuk oleh wanita tersebut ke dalam tandas menyukarkan usaha membuka pintu tersebut,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di sini.

Mohamad Roy berkata, mangsa yang mempunyai masalah dalam pembelajaran dan mengalami sakit sawan dipercayai cuba keluar melalui tingkap tandas sebelum terjatuh.

Menurutnya, mangsa yang merupakan anak sulung daripada tiga adik beradik, maut ditempat kejadian akibat cedera parah di seluruh bahagian badan.

Mayat mangsa yang berusia 27 tahun itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.