Harits Asyraf Hasnan, Astro Awani
Katanya, isu yang melibatkan wang rakyat perlu dilakukan dengan telus kerana ia berkaitan soal integriti, pengurusan dan tatakelola MARA sebagai sebuah agensi yang ulung.
"Saya sudah memberi arahan minggu lepas, semuanya mesti dipercepatkan. Jangan lengahkan dengan birokrasi pelantikan kerana kita perlu mendapatkan maklumat lanjut dan lebih terperinci.
"Ini adalah satu perkara yang akan menentukan cara MARA bekerja akan datang. Kalau kita ada kesilapan, kita tidak mahu kesalahan berulang, kalau kita temui sebarang salah laku, tindakan hendaklah diambil dengan tegas, kerana kita menguruskan wang orang awam," tegas Annuar Musa selepas menghadiri Majlis Makan Malam Amal dan Tayangan Perdana Jejak Warrious di sini pada Ahad.
Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan beberapa ahli Kabinet yang lain.
Mengulas berkenaan pengauditan kewangan MARA oleh syarikat audit, Pricewaterhouse Coopers (PWC), Annuar berkata MARA telah melantik syarikat itu bulan lalu, namun pengauditan tidak dapat dilakukan kerana terma rujukan (ToR) pengauditan masih disediakan.
"Sepatutnya bulan lepas, tetapi kerana dia (PWC) ingin menyiapkan ToR, sebab ToR melibatkan kos dan kita (MARA) mesti mendapatkan kelulusan, (perlu) mengikut peraturan kewangan tertentu.
"Proses pelantikan baru selesai kerana kita kena menggariskan ToR, apa keperluan-keperluan yang kita mahu mereka kaji dan sebahagian penyiasatan ini melibatkan juruaudit terpaksa ke luar negara. Jadi kosnya agak tinggi dan saya perlu dapatkan kelulusan.
"Kita lulus secara prinsip, cuma tinggal peraturan kewangan sahaja yang harus kita ikuti," ujar Annuar.
Berkenaan siasatan yang sedang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Annuar berkata SPRM belum memberi sebarang maklum balas kepada MARA.
Annuar berpendirian MARA tidak seharusnya mengganggu siasatan yang sedang dilakukan SPRM, malah pihaknya sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM jika memerlukan sebarang maklumat.
Isu pembelian hartanah oleh oleh sayap pelaburan MARA Inc menjadi tumpuan selepas akhbar Australia The Age melaporkan pembelian satu blok pangsapuri di Melbourne yang turut melibatkan pegawai agensi itu pada harga yang menjangkaui harga pasaran.
Akhbar itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' telah terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) untuk blok pangsapuri itu pada 2013.
Bangunan Dudley International House setinggi lima tingkat di subbandar East Caulfield merupakan asrama pelajar yang menempatkan 115 penuntut tajaan MARA di Monash University.
Susulan pendedahan ini, MARA mengambil keputusan untuk merehatkan sementara dua pegawai kanan Mara Inc iaitu Pengerusinya, Datuk Muhamad Lan Allani dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Abdul Halim A. Rahim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan