Khamis, 29 Oktober 2015

Kertas siasatan 7 'anai-anai UMNO' siap - Ku Nan

Hilal Azmi, Astro Awani
Kertas siasatan 7 'anai-anai UMNO' siap - Ku Nan
Menurut Ku Nan: Beliau tidak akan memberitahu tujuh nama tersebut kerana ia tidak adil, namun individu-individu itu boleh berdepan penggantungan keahlian. - Gambar Fail
 
 
KUALA LUMPUR: Kertas laporan siasatan ke atas tujuh individu dalam UMNO yang disiasat kerana mengeluarkan kenyataan yang tidak sepatutnya 'dibuat di khalayak' telah siap, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menurut Tengku Adnan, pihaknya masih belum dapat membuat sebarang tindakan memandangkan ia perlu dirujuk terlebih dahulu kepada Majlis Presiden dan Lembaga Disiplin parti.

"Kita nak betulkan parti, kita tak mau ada gunting dalam lipatan, 'anai-anai' mahupun duri dalam daging," kata Tengku Adnan yang turut dikenali sebagai Ku Nan.

"Kertas siasatan dah ada, cuma kami masih belum dapat memuktamadkan tindakan yang patut diambil memandangkan kertas siasatan itu perlu dihantar ke Majlis Presiden dan seterusnya kepada Lembaga Disiplin UMNO.

"Hanya Lembaga Disiplin sahaja boleh membuat keputusan mengikut perlembagaan parti," katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembangunan Taman Pudu Ulu (Fasa II) di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan bagaimanapun enggan mendedahkan nama tujuh 'anai-anai UMNO'

"Saya dah kata, saya takkan beritahu tujuh nama tersebut sebab ia tidak adil. Kita boleh gantung keahlian termasuk jawatan yang disandang mereka," tambahnya.
Sementara itu, pembangunan Taman Rekreasi Pudu Ulu (Fasa II) mempunyai keluasan pembangunan 13.4 hektar dan dijangka siap pada 7 Ogos 2016.


Tiada ulasan: