Rabu, 28 Oktober 2015

Era Anwar berlalu? BN jangan takbur, kata PKR

Abdul Rahim Sabri


 


PKR hari ini bidas membidas pemimpin BN khususnya pengarah komunikasi strategik BN Datuk Rahman Dahlan kerana mengeluarkan kenyataan "sombong dan takbur" mendakwa era Datuk Seri Anwar Ibrahim "sudah berlalu".

Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Md Akin (PKR-Bukit Katil) berkata pemimpin BN tidak seharusnya lupa bahawa sewaktu Anwar menjadi menteri kewangan, beliau membentangkan belanjawan lebihan tahun demi tahun.

"Yang Berhormat Kota Belud, beliau tidak ada dalam Dewan, tapi saya baca twitternya, mengatakan bahawa Datauk Seri Anwar Ibrahim adalah masa lalu.

“Tapi saya ingin mengingatkan Dewan bahawa selaku menteri kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membentangkan belanjawan lebihan tahun demi tahun.

"Ini tidak pernah diulangi oleh tiga perdana menteri yang menjadi menteri kewangan selepas beliau. Janji demi janji untuk membentangkan belanjawan berimbang dilakukan tetapi sudah 18 tahun janji tidak ditepati.

"Justeru, saya mengingatkan MP sebelah sana, jangan sombong dan takbur. Ambil pengajaran dariada sejarah kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam merangka belanjawan lebihan, mengambil iktibar daripada sejarah untuk berjimat cermat ketika senang sebagai persiapan menghadapi masa depan yang sukar," katanya.

Shamsul berkata demikian sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan 2016 atau Bajet 2016 di Dewan Rakyat petang ini.

Beliau mengulas kenyataan Rahman (BN-Kota Belud) yang menempelak Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bahawa isu suaminya adalah perkara yang sudah berlalu dan beliau perlu menumpukan kepada masa sekarang.

"Wan Azizah menyampaikan perbahasan belanjawan dengan menambah perisa di ucapannya menggunakan nama (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim). Ia telah berlalu puan. Anda adalah sekarang," kata Rahman dalam twitternya.

Pengurusan ekonomi Nabi

Shamsul berkata Anwar turut mengambil iktibar pengurusan ekonomi Nabi Yusuf seperti yang termaktub dalam Al-Quran, sewaktu membentangkan bajet negara.

"Bukankah beliau melihat kepada sejarah untuk membuat keputusan semasa perancangan masa depan?

"Justeru kita jangan buta sejarah kerana seharusnya dijadikan panduan untuk masa hadapan," katanya.

Dalam ucapannya juga, Shamsul optimis jika Anwar menjadi menteri kewangan, ketua umum PKR itu tidak akan membiarkan 1MDB menanggung hutang sejumlah RM42 bilion dan mengheret ekonomi kepada kegawatan.

"Saya percaya sekiranya beliau diberi kepercayaan untuk menguruskan ekonomi Malaysia sekali lagi, pendekatan berprinsip dan terbuka beliau akan mampu menyelesaikan masalah yang kita hadapi akibat kerakusan 1MDB," katanya.

Shamsul turut mendakwa Najib yang mengambil pendekatan berbeza untuk menyelesaikan masalah itu termasuk belum mengemukakan saman terhadap Wall Street Journal dan Tun Dr Ling Liong Sik.

"Kegagalan untuk membuat keputusan ini adalah kelemahan yang menyebabkan beliau tidak sesuai menjadi perdana menteri.

"Oleh kerana itu, saya menggesa disegerakan usul yang berhormat ketua pembangkang agar dilakukan undi tidak percaya untuk menguji sama ada Pekan mendapat sokongan majoriti Dewan yang mulia untuk terus menjadi perdana menteri," kata Shamsul.


Tiada ulasan: