Penyelaras BN Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan menegaskan tidak ada seruan untuk Majlis Tertinggi Umno bertindak memecat pemimpin parti yang didakwa 'menderhaka’.
Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batang Kali itu menjelaskan, kemahuan ahli adalah supaya parti bertindak kepada mana-mana individu yang bersifat seperti anai-anai atau gunting dalam lipatan.
Tindakan itu pula katanya, boleh hanya sekadar menasihati individu terbabit.
“Tidak ada seruan yang mengkhususkan badan tertentu atau orang tertentu untuk diambil tindakan.
"Kita mengatakan sesiapa saja ahli Umno yang merosakan dan bersifat seperti anai-anai atau gunting dalam lipatan, itu yang harus diambil tindakan.
“Kalau ahli menderhaka mesti diambil tindakan, sekurang-kurang diberi nasihat dan kita kena ingat tidak semestinya bila kita saran untuk ambil tindakan mereka ini perlu dipecat," tegas Mat Nadzari kepada Malaysiakini.
Mat Nadzari berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung bancian dalaman Umno yang mendapati sekurang-kurangnya 154 daripada 191 ketua bahagian mahu majlis tertinggi parti bertindak terhadap pemimpin parti yang didakwa ‘menderhaka’.
Kalau imej terjejas...
Bagaimanapun bancian yang dijalankan di kalangan 170 pemimpin bahagian menerusi aplikasi chat di Telegram tidak menyebut sebarang nama.
Akhbar memetik Ketua Umno bahagian Kapar Datuk Faizal Abdullah tidak menolak bahawa pemimpin yang didakwa itu adalah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin, dan naib presiden Datuk Seri Shafie Apdal.
Mengulas lanjut Mat Nadzari berkata Umno kini perlu bertindak tegas dengan mengenakan hukuman kepada ahlinya dalam usaha menyelamatkan parti itu daripada terus hancur.
“Ahli Umno perlu ada disiplin, bila silap kita kena ambil tindakan, jatuhkan hukuman seminimum mungkin hingga ke maksimum.
"Tengok tahap dan keperluan ketika itu serta macam mana parti nanti akan dipandang oleh masyarakat umum,” kata Mat Nadzari.
Bagaimanapun ketika diminta mengulas apakah langkah tersebut akan menjejaskan imej parti, ini jawab Mat Nadzari:
“Kalau imej kita terjejas, kita kena pertimbangkan semulalah tindakan tersebut supaya bersesuaian mengikut keadaan,” tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan