shahbudindotcom
Sudah
masuk hari ketiga hari ini, tetapi Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid
Hamidi masih gagal membuktikan kebenaran dakwaannya mengenai pemimpin
UMNO yang disebutnya Sabtu lalu mahu menjatuhkan Perdana Menteri melalui
usul undi tidak percaya di Parlimen.
Zahid
yang juga Menteri Dalam Negeri, dalam masa yang sama, turut gagal
membuktikan kesahihan dakwaannya sehari selepas itu bahawa pemimpin UMNO
terbabit akan datang menemui Najib Razak pada jam 6 petang Ahad lalu untuk meminta maaf.
Bermakna,
bukan saja pemimpin UMNO yang didakwanya mahu menjatuhkan Najib itu
tidak berjaya dibuktikan sehingga kini, malah dakwaannya pemimpin
tersebut akan meminta maaf kepada Najib tidak lebih seperti "maklumat
tepi jalan" atau "gossip cerita artis" semata-mata.
Dengan
ini, tentulah ramai yang hairan bagaimana seorang Timbalan Perdana
Menteri boleh membuat "dakwaan kosong" sebegitu rupa dan ia barangkali
tidak pernah dilakukan oleh mana-mana penyandang jawatan itu sebelum
ini.
Oleh
kerana Zahid masih terbelenggu dengan "janji lama" dalang Lahad Datu
dan bukti Syiahnya Mohamad Sabu yang yang masih belum ditunaikannya,
beliau kini mempunyai dua pilihan untuk dilakukannya.
Pertama,
segera membuktikan kebenaran dakwaannya terbaru itu dengan menyebut
nama pemimpin UMNO terbabit supaya beliau dilihat benar-benar berwibawa
sebagai Timbalan Perdana Menteri dan ada harapan menjadi Perdana Menteri
di masa depan.
Kedua, terus membuat "dakwaan-dakwaan kosong" atau bersandarkan "kicauan burung" ketika merasmikan mesyuarat perwakilan UMNO pada minggu-minggu seterusnya agar dirinya kekal dikenali dengan watak seperti "pembawa gossip artis" untuk selama-lamanya.
Mengusulkan
undi tidak percaya di Parlimen hakikatnya sukar dilakukan oleh pihak di
luar daripada hireaki UMNO. Oleh kerana pembangkang sendiri mempunyai
kerusi yang sedikit dan orang di luar UMNO dan kerajaan pula tidak
mempunyai kekuatan pengaruh yang mencukupi, laluannya tidaklah semudah
yang dijangka.
Ia
lebih mungkin dilakukan oleh pihak dalam hireaki UMNO dan kerajaan
sendiri kerana mereka lebih mudah mendekati rakan-rakan Ahli Parlimen
dalam parti sendiri serta melakukan tawar-menawar dengan pihak
pembangkang.
Dalam
situasi kedudukan Najib yang kian lemah berikutan isu derma RM2,600
juta yang masuk ke akaun peribadinya yang bertambah kalut hari demi
hari, harus diakui kedudukan UMNO dan BN dalam menghadapi pilihanraya
akan datang turut bertambah sukar.
Muhyiddin
sendiri baru-baru ini berkata, jika dalam sepuluh orang yang ditanya,
terdapat dua atau atau tiga yang menyokong BN, ia sudah dikira cukup
beruntung.
Generasi
muda tambah parah lagi kedudukannya, lihat sahaja gelombang dalam
Pemuda UMNO. Selain beberapa Pemuda UMNO bahagian secara terbuka
mendesak Najib berehat dan berundur, rata-rata yang lain turut
menolaknya dalam diam sehingga sayap kanan itu tidak lagi dilihat
berperanan sebagai benteng utama mempertahankan Najib.
Oleh
yang demikian, jika Zahid memahami situasi penolakan terhadap Najib
ketika ini, beliau bukan saja patut menyokong usul undi tidak percaya di
Parlimen demi menyelamatkan masa depan UMNO dan kerajaan, bahkan harus
menjadi sebahagian pendahulunya.
Alang-alang
sudah menyebut ada tokoh UMNO mahu berbuat demikian dan ia terus
memalukannya kerana tidak berjaya dibuktikan, lebih baik ia dijadikan
kenyataan dengan Zahid sendiri melakukannya.
Lagi pula menolak Najib adalah kehendak majoriti ahli UMNO dan rakyat yang makin membesar dan tidak dapat disembunyikan lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan