Selasa, 2 Jun 2015

Sambutan Besar-Besaran Untuk Muhyiddin Petang Ini?

shahbudindotcom


Berikutan laporan yang mengatakan Perdana Menteri, Najib Razak memberi kata dua kepada anggota kabinet sama ada mahu bersama dengannya atau mengundurkan diri, secara automatik yang paling menjadi tumpuan  dan ingin diketahui pendiriannya tentu saja Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Ini berikutan dalam isu 1MDB yang menjadi punca Najib memberikan kata dua itu, Muhyiddin dilihat paling lantang dan terbuka dalam menunjukkan perbezaan pendiriannya. 

Sebaik berakhir pilihanraya kecil Permatang Pauh, beliau lantas menyalahkan isu 1MDB sebagai punca kekalahan BN sambil menyebut kesukaran dirinya untuk berhadapan memberi penjelasan kepada rakyat kerana tidak tahu banyak perkara mengenai syarikat pelaburan yang ditubuhkan melalui idea Najib itu.

Kemudian, melalui video klip ucapannya di majlis tertutup dalam kursus kepada kepimpinan UMNO di Janda Baik, Muhyiddin sekali lagi menunjukkan perbezaannya dengan menyarankan agar Lembaga Pengarah 1MDB dipecat dan dibenarkan polis masuk menjalankan siasatan bagi memulihkan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.

Di sebalik saranan beliau  yang mendapat respon positif daripada mereka yang hadir dalam kursus itu, Muhyiddin seolah-olah ingin memberitahu bahawa pandangannya dalam penyelesaian isu 1MDB ini langsung tidak didengari oleh Najib di mana walaupun pelbagai dakwaan dan pendedahan dilaporkan mengenai syarikat itu tetapi Lembaga Pengarahnya tetap dikekalkan oleh Perdana Menteri.

Lantaran itu, apabila timbul isu kata dua, walaupun Nazri Aziz mengatakan Najib tidak bermaksud demikian tetapi sebenarnya lebih menekankan tentang perlunya mereka bersama dan apa juga keputusan mestilah dalam satu suara, tidak dapat tidak, respon daripada Muhyiddin menjadi sesuatu yang paling dinanti-nantikan.

Apatah lagi, dalam mesyuarat kabinet pada Jumaat lalu ketika Najib memberi kata dua itu, Muhyiddin tidak menghadirinya kerana sedang bercuti di luar negara.

Sehubungan itu, kepulangan Muhyiddin daripada percutiannya pada petang ini  tidak dapat dielakkan daripada menjadi "acara besar" yang menarik minat ramai, khususnya ahli UMNO untuk mengetahui pendirian beliau yang sebenarnya.

Di laman sosial dan grup whatsapp, sejak  semalam lagi sudah mula dihebahkan mengenai kepulangan Muhyiddin dari luar negara itu dan diminta mereka yang berkelapangan beramai-ramai menyambutnya.

Bagi yang kreatif pula, pelbagai poster turut direka dengan tujuan memancing keinginan lebih ramai untuk bersama-sama melapangkan masa menyambut kepulangan pemimpin yang dianggap mampu menyelamatkan masa depan UMNO dan BN itu.

Mengikut laporan, Muhyiddin akan tiba kira-kira jam 9.00 malam, 2 Jun dan acara menyambut kepulangannya akan diadakan di Bilik Anggerik, Balai Berlepas, KLIA. Mereka yang ingin menyambutnya diminta berada seawal jam 7.30 malam.

Sementara itu, Ketua Penerangan di pejabat Timbalan Perdana Menteri, Tosrin Jarvanti juga giat menghantar kiriman SMS kepada rakan, kenalan dan penyokong Muhyiddin agar dapat hadir beramai-ramai ke majlis itu.

Berdasarkan kempen yang dijalankan dan keghairahan orangramai menolak kepimpinan Najib ketika ini, tidak mustahil sambutan kepulangan Muhyiddin ini mendapat sambutan yang menggalakkan dan berlangsung dengan meriah.

Apakah Muhyiddin bakal membuat pengumuman penting di KLIA petang ini? Adakah petang ini akan tercetus babak baru dalam pergolakan UMNO, khasnya hubungan antara Muhyiddin dengan Najib?

Mungkinkah skala sambutan petang ini akan menentukan sama ada kata dua Najib  itu disambut Muhyiddin atau sebaliknya?

Berapa ramaikah pula menteri, timbalan menteri dan pemimpin UMNO yang berani hadir menyambut Muhyiddin petang ini nanti?

Hakikatnya, jika tidak ada sesuatu yang penting, mustahil sambutan untuk Muhyiddin ini hebahkan secara meluas kerana beliau sejak dulu dikenali sebagai seorang yang tidak suka disambut sama ada ketika pergi atau pulang dari luar negara.

Apa-apa pun, jom kita ke KLIA petang ini!!

Inilah teks SMS yang dikirimkan oleh Tosrin sejak semalam...

 Satu lagi idea kreatif untuk memancing keinginan ramai ke KLIA...
 
 

Tiada ulasan: