shahbudindotcom
Jika
kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin bahawa hanya pertemuan
empat mata antara Najib Razak dengan Tun Mahathir Mohamad yang boleh
menyelesaikan kemelut antara kedua pemimpin tersebut dan saranan ini
mahu dipandang serius serta menggambarkan pendirian majoriti anggota
kabinet, ia sebenarnya lebih memperlihatkan kegagalan semua menteri
yang ada sekarang.
Di
ketika mereka tidak berani menyahut kata dua Najib sama ada bersamanya
atau berundur, tetapi dalam masa yang sama menunjukkan seolah-olah
berdiri teguh di belakang Perdana Menteri, mereka juga mengakui tentang
ketidakmampuan serta kelumpuhan upaya untuk berhadapan dengan bekas
Perdana Menteri yang sudah berusia hampir 90 tahun itu.
Akhirnya
mereka menyerahkan kepada Najib seorang diri untuk menyelesaikan
perkara itu melalui pertemuan empat mata kerana menurut Menteri Belia
dan Sukan itu, tiada pihak ketiga yang dapat membantunya.
Apakah peranan menteri dan pemimpin UMNO selama ini?
Patutlah
selama berbulan-bulan ini kalangan menteri lebih banyak berdiam diri
dan membiarkan saja Tun Mahathir "membelasah" serta "mengganyang" Najib
sehingga pahlawan Bugis itu sudah hilang seri wajah dan kelihatan
cengkung tubuh badannya.
Sokongan
dan taat setia menteri seolah-olah hanyalah agar jawatan mereka dalam
kerajaan dikekalkan dan bukannya untuk melindungi dan mempertahankan
Perdana Menteri.
Dalam
pada itu, saranan KJ agar diadakan pertemuan empat mata juga sebenarnya
sudah terlambat untuk menjernihkan hubungan antara Najib dengan Tun
Mahathir. Ia bukanlah cadangan yang baik dan bernas pada ketika ini.
Setelah
berbulan-bulan, sama ada melalui percakapan dengan media, mengadakan
program jelajah atau menulis di blognya, bekas Perdana Menteri itu hanya
mahukan penjelasan berkaitan isu-isu yang dibangkitkannya, khususnya
kehilangan wang 1MDB dan pembunuhan Altantuya.
Oleh
kerana pertanyaannya tidak dijawab dan rakyat serta ahli UMNO secara
majoritinya juga sudah berpihak kepadanya, Tun Mahathir kini hanya
mempunyai satu matlamat saja lagi - memastikan Najib berundur sebelum
PRU 14 agar UMNO dan BN dapat terus kekal berkuasa. Noktah.
Tun
Mahathir juga sudah pun menyatakan tiada lagi pertemuan tertutup
antaranya dengan Najib. Perkara ini sudah dinyatakan oleh Tun Mahathir
sejak beberapa bulan lalu dan kini beliau hanya sedia berdebat atau
berforum secara terbuka saja dengan Najib.
Takkanlah menteri muda kelulusan Oxford ini lupa tentang hakikat tersebut?
Lagi
pula Tun Mahathir bukanlah pemimpin yang boleh dipujuk dan dibelai
selepas diadakan pertemuan empat mata itu. Sama ada diadakan pertemuan
empat mata atau tidak, jawapannya tetap sama iaitu Najib mesti berundur
untuk menyelamatkan masa depan UMNO dan BN.
Dengan
Tun Mahathir sudah sanggup turun ke forum Nothing To Hide bersama
rakyat bawahan untuk berdepan sendiri dengan Najib, ia adalah gambaran
bahawa tiada lagi kompromi dalam usahanya untuk menekan dan mengasak
pengunduran Perdana Menteri daripada jawatannya.
Sebagai
individu yang pernah menjadi punca kejatuhan seorang Perdana Menteri
sebelum ini, KJ seharusnya tidak lupa bahawa ketika Tun Mahathir
mengkritik dan menyerang kepimpinan Tun Abdullah dulu, pertemuan empat
mata juga pernah diadakan antara kedua-duanya tetapi pengakhirannya
tetap bapa mertuanya itu perlu mengundurkan diri.
Dikenali
sebagai pemimpin yang tegas dan tidak pernah berganjak waima dengan
pemimpin dunia sekali pun, kiranya Tun Mahathir sudah mahukan seseorang
itu berundur, maka tiada apa-apa lagi yang mampu mengubah pendiriannya.
Pertemuan
empat mata dengan Najib bukan saja sudah terlambat, tetapi sebenarnya
sudah lama dipadam daripada kamus perkiraan Tun Mahathir.
Kiranya
ingin juga memberi saranan atau kebaikan untuk masa depan UMNO, lebih
baik KJ menasihatkan Najib agar cepat-cepat mengikut jejak langkah
seperti bapa mertuanya dulu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan