Tindakan
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz mengkritik Tuanku
Mahkota Johor dengan cara yang dianggap kasar lantaran terlalu ghairah
ingin mempertahankan Najib Razak yang sedang diserang dari pelbagai
sudut, kini semakin hampir mengundang malang kepada dirinya.
Beliau
bukan saja bakal berhadapan dengan siasatan pihak polis, bahkan juga
mulai menerima kecaman yang semakin meluas daripada pelbagai pihak.
Pemimpin
politik, NGO dan rakyat biasa, tidak saja daripada Johor tetapi
nampaknya di seluruh negara turut mengecam tindakan Nazri yang dianggap
tidak sopan terhadap teguran baik daripada golongan diraja itu.
Difahamkan juga suatu perhimpunan mengecam tindakan Nazri sambil menyatakan sokongan terhadap TMJ akan turut diadakan petang esok di hadapan Istana Bukit Serene, Johor Bahru.
Dengan
ini, tentulah Nazri akan menerima kesan penolakan yang lebih meluas
daripada pelbagai lapisan masyarakat, tambahan pula beberapa kenyataan
dan tindakannya sebelum ini turut membuatkan beliau merupakan antara
menteri yang memang menjadi sasaran kebencian ramai.
Sebenarnya
sebelum Nazri, seorang lagi pemimpin UMNO iaitu Tajuddin Abdul Rahman,
turut mengulas kritikan TMJ mengenai ketidakhadiran Najib dalam forum
Nothing2Hide pada 5 Jun lalu, tetapi ia masih dibuat dalam nada yang
sopan.
Lantaran
itu, reaksi Tajuddin yang mengatakan kritikan TMJ itu hanya menunjukkan
seorang saja kerabat diraja yang dilihat tidak menyokong Najib
berbanding kerabat lain yang mungkin memberi sokongan, ia sebaliknya
tidak mengundang respon yang berterusan.
Berbeza
dengan Nazri, selain mengingatkan TMJ agar menjauhi politik, perkataan
"belasah" yang digunakannya dilihat kasar, keterlaluan dan mempunyai
ciri-ciri sombong yang nyata. Perkataan itu, jika diucapkan oleh seorang
pemimpin terhadap rakyat marhaen paling miskin sekali pun akan dianggap
jelek dan sombong, apatah lagi kiranya ditujukan kepada TMJ yang
merupakan bakal Sultan negeri Johor.
Sebagai
Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang dilantik oleh Najib dan terdengar pula
ura-ura rombakan kabinet bakal diadakan tidak lama lagi, ia mungkin
antara sebab yang mendorong Nazri bertindak "lebih lajak dari laju" dan
berlebih-lebihan dalam menunjukkan sokongannya terhadap Najib.
Tetapi
dengan tindakan terbaru TMJ mempertahankan kritikannya terhadap Najib
bahawa ia hanya berupa ingatannya kepada pemimpin mengenai tanggungjawab
mereka berkhidmat kepada rakyat dan tidak pernah menyuruh sesiapa
berundur atau meletakkan jawatan mereka, episod ini dilihat tidak akan
berakhir begitu saja.
Sambil
TMJ mempertahankan tindakannya itu, rakyat di luar juga menyanjung
tinggi sikapnya yang memperlihatkan ciri-ciri prihatin terhadap rakyat.
Sebelum
mempertahankan tindakan itu, TMJ juga sudah memberi isyarat "marilah"
terhadap Nazri yang dikeluarkan dalam bentuk rakaman video.
Pertelingkahan
Nazri dengan TMJ ini tidak dapat tidak pastinya menambahkan lagi pening
dan tumbuhnya lebih banyak uban di kepala Najib yang sudah sedia
berserabut dalam mendepani serangan serta kritikan daripada bekas
Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad.
Jika
Nazri sebagai salah seorang anggota kabinetnya sekadar berbalah dengan
individu ternama lain, barangkali tidak sukar untuk Najib
mempertahankannya tetapi bertelingkah dengan kerabat diraja yang bakal
mewarisi takhta Sultan Johor bukan sesuatu yang mudah menanganinya.
TMJ
nampaknya tetap dengan pendiriannya mempertahankan kritikannya terhadap
Najib sambil menyerang balas tindakan Nazri sebagai perbuatan yang
sombong dan angkuh oleh seorang pemimpin yang dipilih rakyat.
Apakah
Nazri akan membalas lagi kenyataan TMJ itu atau beliau akan berdiam
diri berikutan siasatan polis sudah pun dimulakan terhadapnya?
Apa
pun reaksi Nazri selepas ini - berdiam diri, membalas lagi atau
menunggu hasil siasatan polis terhadapnya, tetapi di sisi Najib, beliau
dilihat telah membawa kerosakan dan masalah kepada imej parti dan
kerajaan yang sedang dipimpinnya.
Jika
tidak Najib, mungkin Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin
terpaksa memohon untuk mengadap kepada Istana Johor sebagai langkah
penyelesaian seterusnya.
Berbalah
dengan Istana Johor, menjadikan dirinya kecaman ramai dan meletakkan
kerajaan sebagai bahan cemuhan kerana mempunyai menteri yang dilihat
angkuh dan sombong, kedudukan dan nilai diri Nazri sebagai sahabat lama
kepada Najib juga makin berkurangan kerana dianggap lebih menyusah
daripada menguntungkan.
Dengan
itu, hayat politik Nazri mungkin akan berakhir dalam rombakan kabinet
selepas Hari Raya nanti kerana Najib tidak mungkin mahu menyimpan
terlalu banyak beban dan masalah dalam kerajaan pimpinannya yang sedia
rapuh sekarang ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan