JOHOR BAHARU -  Kontroversi dakwaan penipuan dalam urus niaga pembelian hartanah oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Australia baru-baru ini menimbulkan persoalan sama ada berlakunya penubuhan sebuah syarikat luar pesisir di kawasan-kawasan perlindungan cukai atau syarikat “offshore tax haven” di bawah anak syarikatnya MARA Incorporated (Inc.).

Persoalan itu dibangkitkan Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), Tan Sri Shahrir Samad yang tercari-cari punca yang mengakibatkan hartanah yang dibeli MARA itu melambung tinggi daripada harga pasaran.

Jika benar ada syarikat “offshore tax haven” ditubuh bagi tujuan pembelian hartanah tersebut, kata Shahrir, persoalan seterusnya ialah mengenai kelulusan penubuhan anak syarikat MARA Inc itu di luar negara memandangkan ia terletak di bawah kuasa pimpinan tertinggi agensi berkenaan.

Shahrir, Ahli Parlimen BN-Johor Baharu turut mempertikaikan mengenai bagaimana ‘salah keputusan’ dalam urusan pembelian hartanah bernilai US$17.8 (RM51.5 juta) pada harga US$22.5 (RM65.4 juta) juta berlaku walaupun proses penilaian harta dan ‘due diligence‘ (segala proses wajar) telah dijalankan.

“MARA melakukan ‘due diligence‘ dan penilaian harta yang nak dibeli. Syarikat yang melakukannya tentunya syarikat Australia, bukan hanya Malaysia, tapi juga antarabangsa.

“Prosesnya melibatkan pihak ketiga yang membuat ‘due diligence’ dan penilaian harta itu. Kalau proses itu dah betul bagaimana (berlaku) soal salah keputusan.

“Kalau salah keputusan, mungkin kerana adanya MARA Inc menubuhkan pula syarikat ‘offshore tax haven‘,” katanya ketika ditemui The Rakyat Post.

Jika andaian itu benar, Shahrir mempertikaikan mengenai kebenaran dan kelulusan penubuhan syarikat luar pesisir di kawasan perlindungan cukai itu, yang juga turut dipertikai oleh pihak MARA.

“Itu yang menimbulkan tanda tanya. Soalnya siapa yang berikan kebenaran untuk penubuhan syarikat di ‘offshore tax haven‘ itu?” kata Shahrir ketika diminta mengulas berkenaan isu berkenaan yang kini bukan sahaja sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menghantar pegawainya ke Australia, malahan juga turut diselidik pihak berkuasa negara itu.

Menurut Shahrir, beliau melihat adanya ‘kelompongan’ yang perlu dikenalpasti oleh pasukan penyiasat bagi menyelesaikan kes yang kini menjadi perhatian dunia itu.

“Kuasa tertinggi masuk kepada MARA, selepas MARA Council (Majlis MARA).

“Sama ada penubuhan syarikat offshore company itu juga dipersetujui oleh pihak MARA, itu soalnya dan itu saya tidak tahu, itu yang nampak lompong. Tapi (perkara ini) dalam siasatan, jadi biar di siasat,” tambahnya.

Terdahulu pada 24 Jun lalu, sebuah badan bukan kerajaan (NGO), National Oversight and Whistleblowers (NOW) menerusi satu kenyataan mendakwa semakan pihanya dengan Suruhanjaya Sekuriti dan Pelaburan Australia (ASIC) mendapati pembelian hartanah MARA itu dipercayai membabitkan sebuah syarikat.

“Siasatan yang dijalankan oleh National Oversight and Whistleblowers (NOW) terhadap syarikat Thrushcross Land Holding Ltd yang disyaki terlibat dalam transaksi ini mengesahkan bahawa syarikat ini telah didaftarkan di Kepulauan British Virgin.

“Thrushcross dipercayai dikawal oleh MARA melalui anak syarikatnya iaitu MARA Inc,” dakwa NOW dalam kenyataan yang dikeluarkan atas nama dua Pengarahnya iaitu Rafizi Ramli dan Akmal Nasir.
Petikan daripada dokumen Suruhanjaya Sekurit dan Pelaburan Australia (ASIC) mengenai syarikat Thrushcross Land Holding Ltd yang didakwa disemak oleh NOW. - Foto NOW
Petikan daripada dokumen Suruhanjaya Sekurit dan Pelaburan Australia (ASIC) mengenai syarikat Thrushcross Land Holding Ltd yang didakwa disemak oleh NOW. – Foto NOW
Menurut NOW lagi, seorang pengarah utama Thrushcross adalah bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam kawasan Parlimen Semporna, Sabah selama dua penggal.

“Mengapa syarikat yang terlibat dalam urusniaga ini iaitu, Thrushcross Land Holding Ltd didaftarkan di Kepulauan British Virgin yang terkenal sebagai destinasi untuk berlindung daripada cukai?

“Mengapa ianya tidak didaftarkan terus di Malaysia atau Australia?” soal Rafizi yang juga Ahli Parlimen PKR-Pandan menerusi kenyataan  NOW itu.

Bagaimanapun, Namun NOW menyambut baik komitmen Perdana Menteri yang mahu pihak berkuasa menyiasat dengan teliti dakwaan penipuan pembelian hartanah yang dilemparkan terhadap MARA itu.

Dakwaan penipuan dalam urusan jual beli hartanah MARA di Melbourne ini mulanya didedahkan melalui laporan eksklusif akhbar Australia, The Age pada 23 Jun lalu.

Laporan The Age mendakwa anak syarikat MARA, MARA Inc telah membayar kepada pihak pemaju sebuah apartmen di bandaraya itu sebanyak A$4.75 mil (RM13.68 mil) lebih tinggi daripada nilai sepatutnya.

Hartanah bernama Dudley House itu digunakan untuk menempatkan 115 pelajar tajaan biasiswa MARA yang sedang melanjutkan pelajaran di Univerisiti Monash.

Menurut laporan akhbar itu transaksi yang dipersetujui pemaju warga Australia dan usahawan Malaysia bagi pembelian apartment itu pada awalnya pada harga A$17.8juta, sebelum nilai hartanah itu tiba-tiba meningkat kepada A$22.5 juta.

Malah akhbar berkenaan tanpa berselindung turut menyebut nama pegawai tertinggi MARA, yang juga seorang bekas ahli politik di negara ini dalam laporannya selain mendakwa wang lebihan daripada perbezaan nilai pasaran sebenar pembelian bangunan hartanah itu telah diselewengkan untuk membayar rasuah di Malaysia.

Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa dalam sidang media keesokannya (24 Jun) dilaporkan berkata, pembelian pangsapuri berkenaan dilakukan mengikut semua proses ditetapkan, malah ia turut diluluskan Majlis Ekonomi yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.