Mustafa Ali - Foto Sinar Harian Mustafa Ali - Foto Sinar Harian
 
 
 
SHAH ALAM - PKR tidak berhak menghalang Pas untuk menghantar dua nama calon Menteri Besar Selangor seperti yang diputuskan sebelum ini.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata tindakan itu adalah bagi memenuhi permintaan Sultan Selangor.

“Itu adalah keputusan muktamad kami. Nama-nama calon itu akan diserahkan pada 3 September ini.

“Kalau PKR tetap dengan keputusan mereka untuk hantar satu nama, itu terpulang kepada mereka,” katanya.

Sementara itu ketika ditanya sama ada tindakan Pas itu akan menambahkan kekeruhan hubungan antara parti itu dengan PKR, Mustafa berkata isu itu tidak berbangkit kerana setiap parti sudah membuat keputusan masing-masing.

“Kami (Pas, PKR) tidak mengadakan perjumpaan pun kerana kita sudah ada keputusan. Pas tetap dengan keputusan mesyuarat yang diputuskan pada 17 Ogos lalu.

“Perkara ini sudah jelas, kita tunggu sahaja pada 3 September ini,” ujarnya.

Pada 17 Ogos lalu, Jawatankuasa Pas Pusat memutuskan menyokong pencalonan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu dan menamakan seorang lagi iaitu Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali untuk dilantik ke jawatan tersebut.

Keputusan Pas itu dilihat bercanggah dengan pendirian PKR yang mahu mencadangkan nama Dr Wan Azizah sahaja sebagai calon menteri besar.

Bagaimanapun pada 26 Ogos lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan setiap parti dalam PR perlu mencadangkan lebih daripada dua nama untuk dipilih sebagai menteri besar baharu sebelum atau pada 3 September ini.

Titah itu dikeluarkan selepas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mempersembahkan hasrat meletak jawatan sebagai menteri besar kepada baginda.

Sehingga kini, PKR dan DAP berkeras tidak akan mengubah pendirian untuk mempersembahkan hanya satu nama kepada Sultan Selangor di sebalik titah baginda untuk pakatan itu mencadangkan lebih banyak nama.