MALAYSIAKINI
Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyangkal dakwaan
wujudnya protes terhadap Timbalan Presiden Mohamad Sabu apabila
sebilangan anggota perwakilan Pemuda meninggalkan dewan semasa Mohamad
berucap merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS di Kota Tinggi, semalam.
Beliau berkata mereka meninggalkan dewan kerana hendak menunaikan
sembahyang fardu Asar yang merupakan perkara biasa setiap kali muktamar
berlangsung.
"Sebahagian mereka (perwakilan) adalah musafir. Mereka mungkin belum
menunaikan solat fardu Zuhur kerana menunggu Asar untuk melakukan solat
jamak.
"Saya ingat itu bukan protes...tidak betul... setiap tahun akan
dibenarkan keluar dewan secara bergilir- gilir (untuk menunaikan
sembahyang)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Muktamar Dewan
Muslimat PAS ke-54 di Pulai Springs Resort, di Johor Bahru, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan sebilangan anggota
perwakilan Pemuda PAS yang meninggalkan dewan sejurus Mohamad atau lebih
dikenali sebagai Mat Sabu memulakan ucapan perasmiannya di Dewan Choon
Moi dan tindakan itu didakwa sebagai tanda protes terhadap Mohamad.
Mengenai perwakilan yang memakai jaket hitam bertulis, 'Kami bersama
Presiden dan Majlis Syura', beliau berkata tindakan itu merupakan
perkara biasa sebagai tanda sokongan kepada kepimpinan parti.
Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS bagi
Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor,
menyeru pengundi di luar Kelantan supaya pulang menunaikan tanggungjawab
walaupun hari pengundian 25 Sept ini adalah hari bekerja.
"Hari mengundi adalah hari Khamis iaitu hari bekerja di negeri lain dan
ia sangat berdekatan dengan tarikh hari raya Aidiladha. Keadaan ini
meletakkan pengundi dalam keadaan payah membuat pilihan kerana mereka
terpaksa pulang dua kali ke Pengkalan Kubor iaitu untuk mengundi dan
menyambut perayaan.
"Walau bagaimanapun, kita seru lebih 1,700 pengundi yang berada di luar
kawasan DUN Pengkalan Kubor ini untuk pulang (mengundi)," katanya.
PRK DUN Pengkalan Kubor membabitkan pertandingan tiga penjuru antara
calon Barisan Nasional (BN) Mat Razi Mat Ail; Wan Rosdi Wan Ibrahim
daripada PAS dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.
PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada BN Datuk Noor Zahidi Omar akibat kanser hati pada 20 Ogos lalu.
Terdahulu, dalam ucapannya, Tuan Ibrahim mengingatkan anggota parti
supaya tidak mempercayai fitnah yang dibawa musuh ke dalam parti bagi
memecah-belahkan parti itu.
Beliau turut meminta anggota PAS supaya membudayakan kerja secara jemaah dalam menjaga ukhuwah setiap anggota parti.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan