Ahad, 21 September 2014

Nik Aziz: BN bodoh, rakyat kena bodoh

MALAYSIAKINI


 


Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempertikaikan kenyataan yang dibuat oleh pemimpin BN berhubung pembangunan di Kelantan.

Menurut bekas menteri besar Kelantan itu, kenyataan yang mengatakan bahawa kerajaan Persekutuan tidak pernah mengabaikan pembangunan di Kelantan adalah tidak berasas.

Ini kerana, Nik Aziz berkata, tidak timbul sama ada kerajaan mengabaikan pembangunan atau tidak kerana sudah menjadi tanggungjawab kepada pemerintah untuk menjaga negeri-negeri Persekutuan termasuk Kelantan.

"Dia (kerajaan) sibuk bicara tentang pembangunan. Mana ada kerajaan yang tak ada pembangunan. Komunis ada pembangunan, Amerika Syarikat ada pembangunan. Yahudi ada pembangunan. Kelantan ada pembangunan, Kenapa dia sibuk dengan pembangunan?

"Pagi tadi dalam surat khabar, Umno sebut tidak abai pembangunan Kelantan. Macam mana nak abai sebab Kelantan ini dalam Persekutuan. Kita ini negeri Persekutuan. Mahu tak mahu Pusat kena jaga Kelantan. Dia kena jaga. Kenapa nak cakap (tak abai Kelantan) sedangkan memang kewajipan dia begitu.

"Macam cakap kena jaga bini (isteri). Nak cakap apa, itu memang bini kamu. Apa bodoh. Dia fikir orang bodoh sepanjang 50 tahun begitu. Dia yang sebenarnya bodoh. Rakyat (memang) kena bodoh dah," katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira 700 hadirin pada ceramah perdana di Pantai Geting, Pengkalan Kubor malam semalam.

Nik Aziz berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengarah Jentera PRK DUN Pengkalan Kubor BN Datuk Seri Mustapa Mohamed yang mengatakan bahawa kerajaan tidak pernah mengabaikan tanggungjawab kepada rakyat di Kelantan walaupun ditadbir oleh pembangkang.

Mustapa berkata, pelbagai pembangunan baru dan penambahan infrastruktur di kawasan DUN Pengkalan Kubor sebelum ini dibantu kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM206 juta sejak 2004.

Tiada ulasan: